dengan nama Allah yang,maha pengasih lagi maha penyayang
subhanallah,walhamdulillah ku panjatkan jutaan syukur kehadrat ilahi
bersempena 17 ramadhan 1431
diri ini masih diberi ruang untuk sama-sama berkongsi kalam,walaupun masa sentiasa menceburui ana buat masa sekarang....
disini ana ingin kongsikan bersama antum satu hidangan istimewa dari "restoran raudhah dakwah" sebagai santapan rohani untuk kita bersama menikmatinya walaupun di bulan puasa...
Dengan berbekalkan satu kalimah,tetapi mempunyai lebih sejuta makna tersirat....
Satu Tuhan, Satu Kitab, Satu Umat
subhanallah,
...tetapi,ummat zaman sekarang masih ragu-ragu dengan kalimah ini,disini ana akan membongkar makna disebalik Perselisihan dan Perpecahan ummat
mengikut ajaran al-Qur'an
sebagai Manusia seharusnya kita menjadi satu umat kerana Tuhan yang mencipta mereka hanya satu. Akan tetapi, atas kebebasan yang Tuhan beri kepada mereka, mereka memilih untuk hidup tidak bersatu dengan berselisih antara satu sama lain. Perselisihan yang dibangkitkan adalah tidak berhenti-henti. Demikian itulah manusia seperti dinyatakan di dalam al-Qur'an berbunyi,
"Sekiranya Pemelihara kamu menghendaki, tentu Dia membuat manusia satu umat, tetapi mereka tidak berhenti-henti berselisih," (11:118)
Perselisihan antara mereka menjadi berpanjangan kerana apa yang diperselisihkan tidak diputuskan Allah dengan serta-merta. Putusannya menunggu suatu waktu yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Firman-Nya,
"Manusia hanyalah satu umat, kemudian mereka berselisih. Jika tidak kerana satu kata yang terdahulu daripada Pemelihara kamu, pasti ia telah diputuskan antara mereka mengenai apa yang dalamnya mereka memperselisihkan." (10:19)
Al-Qur'an
Perselisihan yang dimaksudkan itu adalah dalam kepercayaan. Ia berlaku setelah Kitab Allah diturunkan, dan hanya berlaku di kalangan orang-orang yang menerimanya. Sebab, antara mereka yang menerimanya, adalah yang percaya dan yang tidak. Namun, keangkuhan yang ditunjukkan oleh sesetengah orang menjadi sebab utama.
Golongan yang percaya kepada Kitab Allah diberi petunjuk pada yang benar atas apa yang diperselisihkan, dan mereka juga diberi petunjuk pada jalan lurus oleh Allah. Sementara bagi golongan yang tidak percaya, yang angkuh, mereka tidak dirahmati seperti golongan yang percaya. Ayat Allah yang menjelaskannya berbunyi,
"Manusia adalah umat yang satu, kemudian Allah membangkitkan Nabi-Nabi sebagai pembawa berita gembira dan pemberi amaran, dan Dia menurunkan bersama mereka Kitab ....... Hanya orang-orang yang diberikannya berselisih, setelah bukti-bukti yang jelas datang kepada mereka, kerana keangkuhan antara mereka; kemudian Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang percaya pada yang benar mengenai apa yang dalamnya mereka memperselisihkan, dengan izin-Nya; dan Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki pada jalan lurus." (2:213)
Jalan lurus dinyatakan di dalam Kitab al-Qur'an. Mengikuti jalan itu bererti menyembah Tuhan, atau Pemelihara, dengan sebenarnya. Namun begitu, terdapat juga golongan-golongan manusia yang berselisih dan enggan menyembah-Nya dengan tidak mengikuti jalan tersebut, walhal ia adalah yang tetapkan Allah. Firman-Nya,
"'Sesungguhnya Allah, Pemeliharaku dan Pemeliharamu; maka sembahlah Dia. Ini jalan lurus.' Tetapi golongan-golongan berselisih sesama mereka, kemudian kecelakaanlah bagi orang-orang yang tidak percaya kerana senario hari yang besar." (19:36-37)
Golongan-golongan yang berselisih mengenai jalan lurus adalah bukan sahaja tidak percaya, atau kufur, malahan mereka juga disifatkan Allah sebagai orang-orang yang membuat kezaliman astaghfirullahhala'zim. Firman-Nya,
"Tetapi golongan-golongan antara mereka berselisih; maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang membuat kezaliman kerana azab hari yang pedih." (43:65)
Mereka yang berselisih mengenai jalan lurus diberi amaran dengan "senario hari yang besar" dan "azab hari yang pedih" seperti yang baru dijelaskan.
Pengetahuan
Al-Qur'an yang diturunkan mengandungi pengetahuan bagi agama yang benar, iaitu Islam. Orang-orang yang berselisih mengenainya adalah mereka yang didatangkan pengetahuan tersebut, juga kerana sifat angkuh, yang menular di dalam diri mereka, lalu mereka menjadi tidak percaya kepadanya. Al-Qur'an menjelaskan:
"Agama yang benar di sisi Allah ialah Islam (tunduk patuh kepada Tuhan), dan orang-orang yang diberi al-Kitab tidak berselisih, melainkan setelah pengetahuan datang kepada mereka kerana keangkuhan antara mereka. Dan sesiapa yang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah cepat membuat perhitungan." (3:19)
Sesungguhnya Allah menurunkan al-Qur'an sebagai satu ujian bagi manusia. Kalau semua manusia mempercayainya maka mereka menjadi satu umat. Tetapi manusia berselisih. Segala yang diperselisihkan akan diberitahu pada hari mereka menemui-Nya nanti. Firman Tuhan,
"Dan Kami menurunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar, ...... Sekiranya Allah menghendaki, tentu Dia membuat kamu satu umat; tetapi supaya Dia menguji kamu dalam apa yang Dia memberikan kamu ...... kepada Allah kamu kembali, kesemuanya; dan Dia memberitahu kamu apa yang padanya kamu memperselisihkan." (5:48)
Satu lagi sebab mengapa umat berselisih antara satu sama lain ialah amalan sesetengah manusia yang mengambil kitab selain daripada al-Qur'an sebagai petunjuk. Kerana, menurut Allah, kitab-kitab yang selain daripada al-Qur'an, yang dikarang oleh manusia, mengandungi banyak perselisihan. Perselisihan pada kitab-kitab itu tentu menjadikan manusia berselisih antara satu sama lain. Firman-Nya,
"Apa, tidakkah mereka merenungkan al-Qur'an? Jika ia daripada selain Allah, tentu mereka mendapati di dalamnya banyak perselisihan." (4:82)
Dengan mengambil kitab yang selain daripada al-Qur'an maka bererti mengambil selain daripada Allah sebagai Pemelihara atau Tuhan. Amalan itu, tidak syak lagi, menjadi resipi bagi perselisihan antara manusia. Firman-Nya,
"Katakanlah, 'Adakah aku menginginkan satu pemelihara, selain daripada Allah, yang adalah Pemelihara segala sesuatu?' ...... Kemudian kepada Pemelihara kamu, kamu kembali, dan Dia memberitahu kamu apa yang padanya kamu memperselisihkan." (6:164)
Wali
Turut menjadi sebab bagi perselisihan umat ialah amalan sesetengah golongan manusia yang mengambil wali-wali selain daripada Allah. Pengambilan tersebut serupa dengan menyembah mereka. Golongan yang berbuat demikian menyangka wali-wali mereka dapat mendekatkan mereka dengan Allah. Firman-Nya,
"Tidakkah kepunyaan Allah agama yang tulus? Dan orang-orang yang mengambil wali-wali (pelindung-pelindung) selain daripada Dia - 'Kami hanya menyembah mereka supaya mereka mendekatkan kami dalam kedekatan dengan Allah' - sesungguhnya Allah akan menghakimkan antara mereka mengenai apa yang padanya mereka memperselisihkan. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada pendusta, yang berdegil dalam ketidakpercayaan." (39:3)
Wali-wali daripada golongan manusia disangka dapat mendekatkan manusia dengan Allah kerana ajaran mereka yang dianggap menarik dan benar. Akan tetapi, Allah menyifatkan mereka dan wali-wali mereka sebagai pendusta, dan sebagai orang-orang yang berdegil dalam ketidakpercayaan. Mereka tidak dapat petunjuk daripada Allah.
Manusia juga berselisih mengenai Hari Kiamat dan kejadian yang berlegar di sekitarnya. Keterangan mengenainya dipanggil "berita besar". Perselisihan mengenai berita besar dirakamkan pada ayat berbunyi,
"Yang mengenainya (berita besar) mereka berselisih." (78:3)
Perselisihan tersebut disebabkan ajaran sesetengah manusia yang bertentangan dengan ajaran Allah daripada al-Qur'an.
Perpecahan
Perselisihan mengenai al-Kitab mendorong kepada perpecahan umat. Perpecahan serupa itu sukar dipulih kerana ia merupakan perpecahan yang jauh. Tuhan menjelaskan,
"Itu adalah kerana Allah menurunkan al-Kitab dengan yang benar, dan orang-orang yang berselisih mengenai al-Kitab adalah dalam perpecahan yang jauh." (2:176)
Perpecahan berlaku di kalangan orang-orang yang diberi al-Kitab, atau orang-orang yang menerimanya. Mereka berpecah belah setelah al-Kitab, atau Bukti Yang Jelas, datang kepada mereka. Firman Tuhan,
"Dan mereka tidak berpecah belah, orang-orang yang diberi al-Kitab, melainkan setelah Bukti Yang Jelas datang kepada mereka." (98:4)
Sebab utama umat berpecah belah ialah ketidakpercayaan kepada Kitab tersebut yang dilakukan oleh orang-orang yang sombong. Ketidakpercayaan mereka juga menyebabkan perpecahan yang jauh di kalangan umat. Dan, menurut Allah lagi, tiada yang lebih sesat daripada mereka. Ayat-ayat al-Qur'an yang menjelaskannya adalah:
"Tidak, tetapi orang-orang yang tidak percaya adalah dalam kesombongan dan perpecahan." (38:2)
"Katakanlah, 'Apa pendapat kamu, jika ia adalah daripada Allah, kemudian kamu tidak percaya kepadanya? Siapakah yang lebih sesat daripada orang yang dalam perpecahan yang jauh?'" (41:52)
Selanjutnya, sikap angkuh antara satu sama lain dan keraguan terhadap al-Kitab, yang mengandungi pengetahuan, turut menyumbang kepada perpecahan umat. Semua berlaku setelah pengetahuan daripada al-Kitab datang kepada mereka. Perpecahan itu tidak diputuskan dengan segera kerana menunggu suatu tempoh yang telah ditetapkan Allah. Firman-Nya,
"Mereka tidak berpecah belah kecuali setelah pengetahuan datang kepada mereka, kerana keangkuhan antara satu sama lain; dan kalau tidak kerana satu Kata yang terdahulu daripada Pemelihara kamu hingga satu tempoh yang dinyatakan, tentu ia diputuskan antara mereka. Tetapi orang-orang yang diwariskan al-Kitab sesudah mereka adalah dalam keraguan padanya, kebimbangan." (42:14)
Bergolongan
Perpecahan umat dapat dilihat dengan jelas setelah manusia menjadi bergolongan dalam agama, dan mereka yang bergolongan itu pula bergembira dengan apa yang mereka ada. Kenyataan tersebut dipetik daripada ayat berikut:
"Tetapi mereka berpecah dalam urusan mereka antara mereka kepada golongan-golongan kepercayaan; tiap-tiap golongan bergembira dengan apa yang ada di sisi mereka." (23:53)
Pecahan dalam agama, seperti bermazhab atau berkumpulan, yang dianjurkan oleh sesetengah pihak adalah bukan ajaran Allah mahupun Nabi-Nya, Muhammad (6:159). Sebaliknya, agama yang disyariatkan kepada baginda dan Nabi-Nabi sebelum baginda adalah yang bercorak tidak berpecah belah. Firman-Nya,
"Dia mensyariatkan bagi kamu (Muhammad) sebagai agama apa yang Dia mewasiatkan Nuh dengannya, dan apa yang Kami mewahyukan kamu, dan apa yang Kami mewasiatkan Ibrahim dengannya, dan Musa, dan Isa: 'Lakukanlah agama, dan janganlah berpecah belah di dalamnya.'" (42:13)
Azab
Perpecahan dan perselisihan di kalangan manusia berlaku setelah al-Kitab, yang menjadi bukti-bukti yang jelas daripada Allah atas kebenaran, datang kepada mereka. Kejahatan yang dilakukan itu akan dibalas dengan azab yang besar. Seperti itulah bunyi peringatan daripada sebuah ayat bermaksud,
"Janganlah menjadi seperti orang-orang yang berpecah belah, dan berselisih setelah bukti-bukti yang jelas datang kepada mereka; mereka itu, bagi mereka, azab yang besar," (3:105)
Segala yang diperselisih akan dihakim dan diputuskan Allah pada Hari Kiamat (22:69 dan 45:17). Hanya Dia sahaja yang berhak berbuat demikian. Justeru, manusia tidak seharusnya menjatuhkan hukum seperti sesat ke atas manusia lain yang didapati berselisih dengan mereka. Sebaliknya, mereka harus mengatakan seperti yang diajar Tuhan berbunyi,
"Katakanlah, 'Ya Allah, Pemula langit dan bumi, yang tahu yang ghaib dan yang nampak, Engkaulah yang menghakimkan antara hamba-hamba-Mu mengenai apa yang mereka padanya mereka memperselisihkan.'" (39:46)
Tali Allah
Perselisihan dan perpecahan tentu akan mengheret kepada permusuhan di kalangan umat. Jalan penyelesaiannya pula sukar disetujui, walaupun ia mampu mengikat hati mereka untuk menjadi satu. Jalan itu adalah dengan berpegang teguh pada tali Allah, berbentuk sebuah Kitab yang diwahyukan-Nya. Dengannya umat menjadi bersaudara, tidak berselisih, tidak berpecah belah, dan juga tidak bermusuhan antara satu sama lain. Iktibar diambil daripada sebuah firman-Nya yang berbunyi,
"Dan berpegangteguhlah kamu pada tali Allah, semuanya, dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah akan rahmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati-hati kamu, supaya dengan rahmat-Nya kamu menjadi bersaudara." (3:103)
Lantaran itu, umat haruslah berpegang dengan teguh pada al-Qur'an seperti yang diperintah Tuhan, untuk merealisasikan dasar Islam "Satu Tuhan, Satu Kitab, Satu Umat". Walaupun ia sukar, namun umat harus terus berusaha untuk mencapainya, demi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
wallahua'lam....
No comments:
Post a Comment