“Bila mana diri diwaqaf untuk perjuangan Islam,jangan sesekali berniat meloloskan diri.sekali melangkah kehadapan maka teruskan langkah itu.jangan pernah terlintas untuk melepaskan ikatan Rabithah perjuangan.walau ribuan tribulasi melanda yakinlah dengan apa yang kita lakukan nescaya kemenangan pasti tiba..derita kita adlah derita ummat terdahulu..penat kita hari ini untuk generasi akan datang.perjuangan harus diteruskan..beramal kerana Allah…”

topbella

Wednesday, November 20, 2013

Cerpen Pertama :) Pondok Sunyi Di Pinggir Syurga

Assalamualaikum wbt.
Subhanallah, wAlhamdulillah, wAllahu Akbar. Selawat dan salam kepada penghulu Nabi s.a.w, keluarga dan sahabat-sahabat baginda.
Sejak sekian lama ana memeram cerpen yang ana karang semasa pertandingan dalam bengkel penulisan anjuran Jabatan Dakwah Dan Pembangunan Insan. Karya yang tidak seberapa, tanpa disangka menjadi pilihan juri. Diantara cerpen terbaik. Pelik bagi ana, tidak pasti apa yang istimewa dalam cerpen ana membuatkan ana berada di barisan pemenang. Alhamdulillah, itulah rezeki namanya. :) 
Sejujurnya, karya ini ana sorok dari menjadi mangsa bacaan umum.. ^_^ Rasa tidak layak pun ada. Tapi sampai bila, mungkin ada yang boleh dibaiki sekiranya ada kritikan yang membina. 

Pondok sunyi di pinggir syurga

PAK ALI. perlahan-lahan menyusun langkah menuruni tangga ruang dapur . Penatnya menebas semak kebun Pak Hamid  semalam memerit rasa si tubuh tua itu. Terperit-perit wajah tua menahan tubuhnya yang sakit. Tetap digagahkan jua.
Mak Pah. Menjalankan tanggungjawabnya disubuh hari. Rutinnya menyediakan sarapan dan kuih muih untuk dijual digerai. Kopi istimewa buat suami tercinta dibancuh dengan pemanis kasih sayang.
“Minumlah bang” dengan senyuman yang tidak pernah lekang dibibir. Mak Pah menghulukan secawan kopi dengan penuh santun.
“Luas jugak kebun hamid”  Pak Hamid mulakan bicara mengenai kebun pak hamid. Tangannya mencapai secawan kopi yang dibancuh Mak Pah dihirup perlahan-lahan.  Asap yang mengepul menandakan air kopi itu masih hangat. Pekat. Secawan minuman yang terbaik buatan buah hati tercinta. Sebab itulah pak hamid tidak akan menyentuh kopi lain melainkan itu adalah hasil dari air tangan Mak Pah. Ada perasa tambahan katanya.
“Hari ini abang ke kebun lagi? ” Mak Pah menyambut perbualan dengan persoalan. Risau melihat keadaan pak Ali yang mula menampakkan bibit sakit.
“Tak tahu lagi, badan aku rasa lain macam pulak hari ini. Sudah mahu mati barangkali “ pak ali ketawa kecil sambil mengurut-ngurut pinggangnya yang sentiasa menjadi penghalang untuk membuat kerja-kerja berat. Sudah 5 tahun keadaan pak ali begitu.  Sentiasa sakit-sakit bila melakukan kerja berat. Begitu juga dengan  Mak Pah. Sudah tidak berdaya untuk membantu suaminya mengambil upah menebas semak dikebun pak hamid sejak 2 tahun yang lalu. Manakan tidak, pasangan itu hampir  mencecah usia 70 an. Otot-otot sudah kecut untuk menggalas bebanan kerja.
Gurau pak ali kali ini membuatkan Mak Pah hanya tersenyum hambar. Seringkali diucapnya perkatan itu, membuatkan Mak Pah sudah lali dengan gurauan suaminya. Sudah malas mahu ambil hal dengan gurauan itu.
Abang rehatlah hari ini. Tentang kerja-kerja dikebun itu nanti saya beritahu pak hamid yang abang tidak sihat”  sambung Mak Pah, Tangannya perlahan-lahan menyusun kuih-muih ke dalam bakul untuk dihantar ke gerai Gayah dihujung kampung. Susunan yang kemas.
Baiklah. Aku rasa sakit aku lain macam plak hari ni. Sampai gerai Gayah nanti belikan aku panadol” ucap pak ali yang masih mengurut-ngurut pinggangnya.
Mak Pah kasihan melihat suaminya. Mahu sahaja tangannya mengambil alih untuk mengurut pak ali. bimbang, nanti kuih muihnya berbau minyak angin. Beringat, takut membantut punca rezeki.
baiklah abang. Nanti jangan lupa kunci rumah. Saya takut balik lewat.” Suruh Mak Pah.  Keadaan pak ali mengundang bimbang dihati Mak Pah. Hatinya menjerit-jerit rasa tidak enak. Rasa bersalah. Namun dia harus menghantar kuih muih ke gerai Gayah untuk dijual bagi mencari sesuap nasi. Upah menebas pak ali hanya mampu menampung belanja pondok yang disewanya.belanja  makan dan minum hasil daripada jualan kuih muihnya.
“ saya pergi dulu. Abang jaga diri ya. Saya berusaha untuk  balik secepat mungkin. Balik nanti saya urut “ jelas Mak Pah. Dia mengatur langkah ke luar rumah. Pintu usang di bahagian dapur yang sudah terkopek kayunya dikuak perlahan. Bibirnya menutur kalimah basmalah mengiringi perjalanan.
Mak Pah menyorong basikal tua yang bersandar didinding . Langkah terhenti. Menolehnya kearah pondok kediamannya. Resah menggamit hati si isteri. Basikal menjadi teman perjalanannya. Itulah satu-satunya pengangkutan yang mereka ada. Dibeli dengan hasil titik peluh menebas semak Pak Hamid.
Mak Pah kuatkan jua langkahnya untuk terus mencari rezeki tuk disuap dua mulut. Perkongsian hidup mereka tidak membuahkan hasil.  Rezeki zuriat tidak memihak kepada mereka. Mak Pah tidak mampu menghadiahkan permata penyinar hidup mereka. Pak Ali redha, dia sayangkan Mak Pah. Mak Pah sudah cukup membahagiakan hidup Pak Ali. Sudah cukup menjadi cahaya hidupnya. Saham akhiratnya kelak.
Gayah” jerit Mak Pah
ya. Kat dapur” sahutan Mak Pah disambut Gayah yang sedang mencuci pinggan. Bunyi kuat desiran air paip sedikit menganggu perbualan mereka.
ni Mak Pah letak kuih atas meja ya” menjerit lagi
ok. Mak Pah buat sendiri macam biasa ya” Gayah membalas jeritan. Jelas kekalutan Gayah mengemas gerai untuk memulakan perniagaannya hari ini.
Gayah!,  Aku nak panadol satu papan. Ada lagi tak ? ” Tanya Mak Pah sambil menyusun kuih dipinggan.
Paip ditutup kemas. Suasana menjadi aman daripada bunyi desiran air. Gayah mengelap-nglap tangannya di apron yang diperbuat daripada kain cotton yang dilapis plastic di bahagian dalam.
panadol?. abang Ali sakit lagi ye kak pah” agak Gayah beserta kalungan persoalan. Tangannya mencapai sekotak panadol dalam kabinet dinding yang tidak bercermin.
biasalah abang Ali kamu tu. Tapi sakitnya kali ni lain macam akak tengok. Risau pulak. “ luah  Mak Pah tentang kebimbangannya.
“Abang Ali ni pun satu, dah tahu badan tu mudah sakit kuat kerja juga. Kan sudah susahkan kak pah.”  Ngomel Gayah.
kalau dia tak ambil upah tu alamatnya tak berasaplah dapur kami ni Gayah” sedikit mengeluh dengan perangai Gayah yang suka berleter. Sudah perangainya, leterannya bukan marah, tetapi sayang. Mak Pah dan Pak Ali sudah seperti keluarganya. Kedua pasangan tua itu banyak menolongnya untuk bangkit setelah peristiwa hitam mencorak sejarah hidupnya. Doa dan nasihat mereka berdua sentiasa menjadi makanan Gayah setiap hari ketika konflik menggoncang rumah tangga Gayah dan suaminya, seperti dunia mahu kiamat. Pasangan itulah yang hadir dalam hidup Gayah bagi menjemput kembali semangat hidupnya yang hilang.
“harganya tolak duit jualan semalam ye Gayah” beritahu Mak Pah .
“ tak apalah kak pah, yang ni saya bagi percuma. Panadol dalam kedai saya ni dah jadi barang wajib belian kak pah dah” Gayah ketawa kecil sambil menghulur sepapan panadol.
“betul ke? “ terima kasih Gayah. terukir Senyuman gembira diwajah Mak Pah.
Ni duit semalam. Alhamdulillah, habis semua kuih muih Mak Pah, kalah kuih yang saya buat.” Tergelak kecil. Kata-katanya sedikit menenangkan hati Mak Pah.
ada ada je kamu ni. Baiklah Mak Pah pergi dulu ye. Nak singgah rumah pak Hamid, nak beritahu yang pak Ali tak datang kerja hari ni” senyuman masih terukir. Walau hati terusik bimbang dengan keadaan Pak Ali berseorangan di rumah. Hati kembali menjadi semakin resah.
oklah Gayah, Kak Pah balik dulu ye “ Mak Pah kembali menyorong basikal tuanya ke arah rumah pak hamid. Kali ini basikal itu tidak ditunggang, malah hanya dituntunnya sahaja kerana rumah pak hamid hanya 100 meter sahaja dari gerai Gayah.
Selepas beberapa minit dirumah pak hamid, Mak Pah kembali pulang ke pondok. Hati Mak Pah berdegup kencang. Entah kenapa, semakin dekat dengan pondoknya hati semakin runsing. Hanya doa dan potongan ayat suci al-quran yang dihafalnya sahaja meniti bibir.
Pintu dikuak mudah.
tidak berkunci” desus hati Mak Pah
“ ya Allah abang!!” bakul ditangan terhempas ke lantai,panadol yang diberi percumah oleh Gayah tercampak keluar dari bakul. Wang hasil jualan bertaburan dilantai. Ia bukan lagi fokus utama. Mak Pah menjerit terkejut melihat keadaan Pak Ali yang tersembam dilantai. Mak Pah terduduk. Longlai. Dia hanya mampu mengesot untuk mendapatkan Pak Ali yang sudah kaku.
abang bangun bang!! ” sedikit menjerit. air mata Mak Pah mengalir laju. Kudratnya berusaha mengangkat suaminya. Tidak terdaya, dirinya hanya mampu membalikkan tubuh Pak Ali. Mak Pah tekad meninggalkan PaK Ali sendirian , cuba untuk menguatkan diri. berlari anak mencari pertolongan dengan jiran terdekat. Lariannya lemah kadang-kadang hampir rebah. Pondok mereka sedikit tersorok, jarang penduduk disitu melalui kawasan itu melainkan untuk mencari ulam-ulam kampung dan memancing disungai berdekatan.
Osman, anak pak hamid kebetulan memancing di sungai bersebelah pondok Pak Ali dan Mak Pah mendengar jeritan dipondok tersebut. Sayup kedengaran, kerana suara Mak Pah sehalus batang tubuhnya. Bergegas Osman berlari kearah pondok tersebut  bersama teman rapatnya salam.
Salam sempat melihat Mak Pah berlari anak keluar rumah menjerit meminta tolong. Bergegas Salam dan Osman menyapa Mak Pah yang sudah seperti kerasukan.
Mak Pah, kenapa ni? Apa yang berlaku? Pak Ali mana? “ pelbagai persoalan yang diajukan pada Mak Pah.
“ Pak Ali kamu. Pak ali kamu” hanya perkataan itu sahaja yang keluar dan diulang dari mulut Mak Pah. Jari telunjuknya menunjukkan kearah pondok. Wajahnya dibasahi air mata. Osman seperti sudah mengagak apa yang berlaku kepada Pak Ali.
Hospital besar didaerah tersebut menjadi destinasi kecemasan mereka. Jasad pak hamid kaku tidak bergerak. Osman dan Salam berusaha menghantar mereka ke hospital berdekatan.
“maaf mak cik. Suami mak cik sudah kembali ke rahmatullah. Bertenang ya. ” ujar pembantu perubatan yang memeriksa nadi Pak Ali. Mak Pah hanya mampu menahan air mata dari terus mengalir laju. Namun hati lembutnya tetap kalah dengan keadaan. Dirinya rebah dalam pangkuan kesedihan. Dirinya berusaha untuk menggagahkan diri menerima takdir Ilahi. Osman dan Salam hanya mampu bersimpati dengan Mak Pah.
Teringat akan gurauan Pak Ali pagi tadi. Air matanya bergenang. Gurauan Pak Ali bukan lagi mainan. Tetapi tanda benar-benar dirinya akan meninggalkan alam fana ini. Meninggalkan kebahagaiannya bersama isteri tercinta didunia. Mak Pah redha.
……………………………………………….
Sebulan berlalu. Kini, hidup Mak Pah sunyi. Sunyinya sama seperti hari-hari sebelumnya. sunyi dengan ketiadaan penyeri dan pelindung yang menemani hidupnya dengan limpahan kasih sayang seorang suami, sahabat dan teman yang setia. Semasa hayat Pak Ali, Mak Pah tidak pernah sunyi walaupun tidak mempunyai cahaya mata. Pak Ali mendidik isterinya dengan ilmu agama. Mengajar cara untuk menjadi Isteri solehah. Walaupun hanya kerja kampung, Pak Ali berkelulusan sekolah Pondok di daerahnya. Ilmu yang diburunya sejak dulu itu menjadi bekalan dan resepi kebahagiaan di alam rumah tangga yang dibinanya sejak 50 tahun lalu.
Mak Pah bersimpuh di anjung pondok,  Tangannya asyik membelai manja anak kucing yang dijumpai berhampiran gerai Gayah sebentar tadi setelah pulang dari pusara Pak Ali. Boleh dikatakan setiap hari dia menziarahi Pak Ali. Surah Yassin menjadi bingkisan. Bagi Mak Pah, itulah lambang cinta mereka. Surah itulah yang selalu Pak Ali baca bersamanya usai solat maghrib sambil Mak Pah diajar dengan bacaan yang betul mengikut hukum tajwid.
Hatinya simpati melihat anak kucing yang kehilangan ibu. Kelihatan sunyi, sama sepertinya.  Sedang melayang  fikirannya, entah kemana. Bibirnya tiba-tiba melakar senyuman. Ingat akan kalimah ‘syurga’, destinasi  yang sering diulang-ulang dan ia menjadi dambaan Pak Ali. Dia pernah mengusik Mak Pah, katanya ingin Mak Pah menjadi ketua bidadarinya di sana kelak.
“Mungkin abang Ali sedang berseronok disyurga” getus fikirannya. Monolog sendiri. Fikirannya masih kepada Pak Ali. Mak Pah mengangkat langkah tika azan zohor berkumandang. Menyambut panggilan ilahi dengan doa dan syukur. Dirinya masih mampu mengecapi nikmat dunia yang sunyi.
………………………
Usai solat zohor. Tangannya pantas menadah memohon ampun kepada Ilahi selepas zikir meniti bibir. Tidak lupa, doanya sentiasa mengiringi pemergian Pak Ali. Tanpa jemu. Harapannya mahu bersua disana kelak. Air mata mengalir laju membasahi telekung solat. Begitulah hari-hari kehidupan Mak Pah. Rutin hidupnya berubah serta merta. Banyak meluangkan masa di atas sejadah usang peninggalan suaminya. Kelihatan kesan lusuh, sedikit carik ditempat sujud. Sejadah itulah menjadi saksi kepada hubungan mereka dengan Allah.
“ Assalamualaikum “  jelas suara Gayah dari luar rumah menjinjing bekas makanan berisi nasi dan juga lauk. Niatnya mahu menziarahi Mak Pah dan makan bersama. Kepalanya tidak henti-henti menjengah-jengah mencari kelibat Mak Pah. Tiada jawapan.
“Kak Pah?? “ menanti sahutan. Senyap. Gayah berusaha pergi ke bahagian dapur. Pintu ditolak perlahan. Keriukan pintu jelas kedengaran.
“Kak Pah?” masih menanti sahutan. Pelik. Selalunya sekali panggil Mak Pah pantas menyahut.

“ Oh, di sini rupanya” Gayah tersenyum melihat gelagat Mak Pah yang sedang kusyu’ berdoa. Mata terpejam, ada butiran mutiara jernih terbentuk di hujung bulu mata Mak Pah. Bibirnya terkumat kamit menyusun kalamnya. Sepuluh minit berlalu. Mak Pah masih tenggelam didunianya. Usai doa, Mak Pah menoleh kepada Gayah yang tersengguk-sengguk dihujung  di dinding, sengaja menjarakkan diri, bimbang mengganggu kekusyukan Mak Pah. Mak Pah tersenyum. Membiarkan Gayah tertidur. Meneruskan solat sunat. Tidak puas mengalung cintanya pada Allah. Sunyinya terubat dengan kuntum cinta ilahi. Sujud terakhir, adalah sujud yang paling lama. 

Suka menatap gambar ni :)

7 comments:

Anonymous said...

Assalamu’alaikum w.b.t.
Selamat menjadi mangsa ana tuk’ terima komentar yang tak seberapa ini, ulas yg biasa2 jer.. ^_^ Rasanya, cerpen ni lebih kurang 8-10 halaman.
Judul: “Pondok Sunyi di Pinggir Syurga”, pembaca mesti berfikir bahawa cerpen ini ada kaitan dengan kisah agama / Islamik. Perkataan ‘pondok’ biasanya suasana kampung atau keadaan miskin, ‘sunyi’ pula mesti berlaku sesuatu pada watak menyebabkan dirinya keseorangan, manakala ‘syurga’ sebagai harapan watak dalam cerpen. Tajuk ni penting, lebih2 lagi nak tarik minat pembaca.
Tema: Lihat pada kisah cerpen ini, mengenai perjalanan hidup pasangan warga tua, iaitu suami isteri yang setia pada perkahwinan mereka sehingga akhirnya salah seorang dari mereka meninggal dunia. Walaupun tidak dikurniakan anak, namun mereka tetap jalani hidup bahagia. Faktor utama membawa kepada kesetiaan, kasih sayang, tanggungjawab, dan sebagainya adalah AGAMA.
Persoalan: Melibatkan persoalan hidup pasangan warga tua yang setia pada perkahwinan berlandaskan pegangan agama. Bagi suami, ada seorang isteri yang solehah pun sudah cukup. Berdasarkan cerita, agama menjadi kepentingan utama dalam hubungan suami isteri, dibuktikan melalui watak Pak Ali dan Mak Pah.
Isi Cerita: Terlihat kisah utama yang ingin dipaparkan melibatkan Pak Ali dan Mak Pah. Kisahnya sampai kepada pembaca, namun seperti biasa karya cerpen sekurang2nya dibaca sebanyak dua kali baru pembaca dapat memahami. Keseluruhannya, menarik dan ada jalan cerita atau mesej yang ingin diketengahkan. Namun, ada peristiwa yang mungkin nak bawa pembaca berfikir, misalnya peristiwa kematian Pak Ali agak terlalu pantas, sukar nak tangkap mungkin disebabkan tidak diceritakan punca atau sebab kematiannya. Pembaca tertanya-tanya sampai akhir cerita. Oleh itu, pembaca dapat buat kesimpulan sendiri bahawa Pak Ali meninggal kerana sakit tua.
Watak perwatakan: Watak utama, Pak Ali dan Mak Pah. Masing-masing miliki peranan penting dalam menggerakkan cerita. Watak-watak ini seperti biasa dibantu oleh watak sampingan, iaitu Gayah, Osman, dan Salam. Watak Pak Ali dan Mak Pah banyak miliki persamaan, mungkin nak tonjolkan bahawa mereka sebagai pasangan suami isteri yang setia & kuat berpegang pada agama. Watak Gayah turut membantu walaupun ada kekurangan, begitu juga Osman dan Salam. Watak dalam cerpen ni sukar nak lihat perwatakannya sebab muncul sementara sahaja.
Mesej:
1. Kesetiaan kepada pasangan, terutamanya berlandaskan pegangan agama Islam. Andainya seseorang itu faham dan amalkan ajaran agama dengan sempurna, kebahagiaan itu pasti akan hadiri seperti pasangan Pak Ali dan Mak Pah.
2.Tanggungjawab, melibatkan tugas atau peranan manusia dalam menjalani kehidupan. Masing-masing faham tanggungjawab yang telah diamahkan melalui perkahwinan, ada tolak ansur, hormat menghormati, dan sebagainya. Contohnya, hubungan suami isteri antara Pak Ali dan Mak Pah memperlihatkan tanggungjawab yang ditunaikan, di samping hubungan keluarga Mak Pah dengan Gayah memperlihatkan tanggungjawab sesama Islam.
3. Ketabahan dan kesabaran mengharungi hidup, walau tidak dikurniakan rezeki melalui kurniaan cahaya mata, Pak Ali dan Mak Pah tetap setia mentaati perintah Tuhan. Keadaan ini terus berlaku walaupun mereka menerima ujian yang amat berat untuk ditanggung. Semuanya kerana pegangan agama dan percaya pada Ilahi.
4. Reda takdir Ilahi, melalui kematian seseorang yang disayangi. Mak Pah tidak memberontak atau menyesali takdir Allah kerana sentiasa setia bersama Pak Ali sehingga hujung nyawa walaupun pelbagai ujian telah diberikan. Bermula dari kehidupan yang agak miskin, tidak mendapat cahaya mata, dan kematian insan tersayang.
5. Kasih sayang, taat perintah Allah, dll..

Anonymous said...

Latar: Penggunaan latar tempatnya sesuai dengan judul cerpen, contohnya pondok biasanya ada di kampung atau tempat2 pedalaman. Sesuai pula dengan hidup Pak Ali dan Mak Pah yang hidup serba sederhana bersesuaian dengan pekerjaan mereka. Latar masa, melibatkan masa2 akhir kehidupan manusia. Sememangnya kalau ingin tunjuk kesetiaan mestinya bila usia perkahwinan tu agak lama sampailah boleh dipisahkan hanya dengan kematian. Detik bersama sebagai pasangan suami isteri dilakarkan pada usia yang mencecah hampir 70-an. Latar masyarakat, masyarakat kampung, berjiran, ada hubungan baik antara masyarakat.
Plot: Permulaan, watak-watak sudah alami proses dalam kehidupan seperti manusia yang lain, hidup berpasangan, punyai tanggungjawab, dan sebagainya. Watak Pak Ali dan Mak Piah digambarkan sudah berumur hampir 70-an dan sudah banyak melalui suka duka kehidupan. Kisahnya mungkin sudah lama bermula sejak zaman muda dahulu, kini kisah mereka disampaikan sehingga salah seorang dari mereka meninggal dunia.
Cerita berkembang dengan konflik2 melanda watak pada akhir2 usia. Misalnya, orang yg sudah berusia hampir mencecah 70-an pasti mengalami masalah kesihatan, lebih-lebih lagi dengan keadaan hidup yang miskin. Ini menyebabkan perkembangan cerpen melibatkan watak Pak Ali yang sakit, namun pergerakan agak terhad disebabkan konflik dalam cerpen tidak boleh berlebih-lebihan agar tidak menjadi terlalu panjang dan meleret-leret.
Jalan cerita agak ringkas dengan kematian Pak Ali yang pada awalnya mengalami sakit-sakit badan sehingga pembaca dapat mengagak bahawa pasti berlaku kematian. Kematian Pak Ali juga berlaku amat pantas, namun telah diselitkan tanda2 awal sebelum kematian yang hanya dapat diperhatikan setelah kematian Pak Ali.
Plot terus berkembang kepada pengakhiran cerita, digambarkan setelah berlaku kematian mungkin tiada peristiwa2 penting sehinggalah sebulan kemudian. Kisah ini terus diselesaikan atau ditamatkan dengan kematian Mak Pah di tikar sujud. Mungkin itulah harapan utama watak untuk terus setia bersama suaminya di syurga. Terselit harapan yang tinggi pasangan suami isteri ini yang ingin bersama bukan di dunia, malah di syurga sana.

Anonymous said...

Teknik: Penggunaan dialog dan pemerian (naratif) kelihatan dibahagikan agak seimbang. Sememangnya pengunaan teknik dialog amat penting dalam sesebuah cerita disebabkan pembaca dapat mengalami dan menghayati dialog seperti situasi dalam cerita. Dengan kata lain, pembaca dapat masuk dalam sudut pandangan watak. dialog yang banyak juga tidak boleh digunakan disebabkan karya tersebut pasti lebih kepada penulisan skrip, bukan cerpen. Dialog yang kurang juga menjadikan cerita agak kaku. Oleh itu, cerpen ini mungkin hanya perlu ditambah penggunaan dialog, namun tidak berlebih-lebihan.
Sesekali pembaca disajikan dengan teknik imbas kembali. Misalnya, digambarkan lima tahun lalu bahawa Pak Ali mula sakit-sakit, begitu juga Mak Pah yang dua bulan lalu sudah tidak mampu menolong Pak Ali menebas di kebuh Pak Hamid.
Bahasa: Penggunaan istilah tiada masalah yang ketara, namun dari segi kesalahan ejaan, serta penggunaan imbuhan ‘ke’ dan ‘di’ masih perlu diperbaiki. Perlukan rujukan tambahan kerana kesalahan biasa mungkin menyukarkan editor walaupun sememangnya tugas editor.
Selain itu, berlaku keliruan dalam ayat, “Luas jugak kebun hamid” Pak Hamid mulakan bicara mengenai kebun pak hamid. Sepatutnya, , “Luas jugak kebun hamid” Pak Ali mulakan bicara mengenai kebun pak hamid. Mungkin tersilap taip.
Kesimpulan:
Secara umumnya, cerpen ini jika dibaca dan difahami agak menarik dengan isi cerita atau mesej yang ingin disampaikan. Cadangan, mungkin konfliknya perlu dicari sedikit perbezaan atau kelainan agar pembaca tidak mudah dapat agak jalan cerita yang ingin disampaikan. Ini menyebabkan berlakunya ‘klise’ atau pengulangan cerita oleh pengarang2 lain. Selebihnya, dari segi bahasa sahaja yang perlu diperbaiki walaupun mungkin dianggap tidak penting… Sekian.

MAAF terrpanjang pulak, kasi tulis sahaja, entah apa2lah..huhu.. ana pun malas nak menulis. Tolong bagi ulasan jer.. :D Teruskan berkarya.

"Kalau cinta mesti mahu ke syurga" - Hilal Asyraf

Faizah Omar said...

waduh.. pengulas dah mai... syukran atas komentar.. in Shaa Allah akn ada movement...brapa bintang agak2 ??

Anonymous said...

Dalam laman e-Sastera ada 5 Bintang tuk' full. Cerpen ni, ana bagi 3 bintang setengah tuk' permulaan..:)

Faizah Omar said...

3 bintang untuk permulaan.. Alhamdulillah.. ok lah tu..

Anonymous said...

:)

Post a Comment