“Bila mana diri diwaqaf untuk perjuangan Islam,jangan sesekali berniat meloloskan diri.sekali melangkah kehadapan maka teruskan langkah itu.jangan pernah terlintas untuk melepaskan ikatan Rabithah perjuangan.walau ribuan tribulasi melanda yakinlah dengan apa yang kita lakukan nescaya kemenangan pasti tiba..derita kita adlah derita ummat terdahulu..penat kita hari ini untuk generasi akan datang.perjuangan harus diteruskan..beramal kerana Allah…”

topbella

Thursday, January 1, 2015

Kajian Agama

Assalamualaikum wbt

Bismillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan keluarga Baginda.

Erm, hari ini  'buku baru Masihi' 2015. Tapi bukanlah pokok untuk dibincangkan.

Minggu final exam. Last final exam sebagai seorang mahasiswa. Terasa rugi sekiranya input-input yang ditadah sepanjang 3 tahun setengah ini tidak dikongsi bersama. Rasanya tidak cukup dengan hanya sebaran melalui kata-kata. Berkongsi dengan sahabat-sahabat. Ada baik bila tugasan-tugasan yang telah diamanahkan suatu ketika dikongsi juga bersama warga maya yang lain.

Sudah lama tergerak hati nak kongsikan tentang pengalaman jaulah ke rumah-rumah ibadat agama lain. Tapi hari ni baru tergerak tangan nak merajinkan diri. huhu.

Melaka, bersama-sama teman seperjuangan (baca: sesabjek) dan pensyarah meneroka ruang agama lain untuk kajian dibawah subjek KAJIAN AGAMA. Teras pengajian ijazah sarjana muda usuluddin. Sedikit laporan yang telah kami 'persembahkan' untuk pensyarah, ana persembahkan di sini juga. Selamat berkongsi :)

...................................................................................................................................................................


Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah sekalian alam. Selawat dan junjungan keatas baginda Rasulullah s.a.w, keluarga, sahabat-sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in dan seterusnya. Alhamdulillah diatas dua nikmat besar yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t yang tidak jemu menitip kepada hamba-hambanya iaitu nikmat iman dan Islam. Ingin diri ini merakam jutaan terima kasih kepada tenaga pengajar kami yang tersayang iaitu Ummi Khadijah binti Mohd Hambali kerana banyak berkorban wang dan masa demi sebuah pengembaraan besar dalam menjejak ilmu dan kefahaman. Tidak lupa juga tutor kami yang tidak putus member tunjuk ajar setiap masa iaitu puan suhaida shaharuddin atau lebih manja dengan panggilan ‘Kak Su’. Jasa mereka dalam mencurah ilmu dalam subjek agama tidak dapat kami membalas dengan sepenuhnya. Selain daripada itu, ingin juga saya membingkaikan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang sentiasa bersama dalam susah senang sepanjang berjuang bersama. 
Sebelum bertolak

Dalam pengembaraan meneroka subjek ini bersama Ummi dan Kak Su tercinta, ia tidak lengkap sekiranya kami tidak mengalami sendiri pengalaman turun ke medan kefahaman. Subjek ini amat memberi tarikan yang kuat kepada saya dan sahabat-sahabat kerana ia amat membantu kami dalam menguatkan diri serta kefahaman. Walaubagaimanapun, bagi saya dan sahabat-sahabat dari Jabatan Dakwah Dan Pembangunan Insan ia adalah satu asset ilmu yang perlu bagi setiap para pendakwah bagi menguatkan hujah dalam bicara agama selain dari Islam. Selain dari bergelumang dengan ilmu agama Islam, Ummi mengajak kami untuk meneroka dengan lebih jauh iaitu mengkaji agama lain seperti Hindu, Buddha, Sikh, Kristian dan banyak lagi. Kami tertarik untuk mengetahui dengan lebih terperinci dari segi budaya, kepercayaan, amalan, perayaan dan sebagainya yang terkandung di dalam subjek Kajian Agama. Oleh itu, Ummi dengan rasa senang hatinya mengajak kami keluar ke bilik kuliah untuk sama-sama belajar di luar bilik kuliah pula. Hati berbunga tatkala Ummi dengan penuh rasa kasih dan sayang sudi membantu kami dalam proses pembelajaran kali ini. Setelah pembetukan organisasi dilakukan maka lawatan telah dirancang dan ditetapkan tarikh pada 18-19 Mei 2013.
Tarikh ini adalah tarikh keramat bagi ku kerana buat pertama kalinya bakal menjejakkan kaki ke rumah ibadat lain. Rasa gementar, juga tidak sabar menghantui diri. Perkongsian saya untuk laporan kali ini titik langkah kami bermula pada 6.30 pagi. Dimana saya dan juga rakan serumah mula bertolak untuk berkumpul di Akademi pengajian Islam Universiti Malaya pada jam 7.00 pagi. Pelbagai ragam sahabat-sahabat yang berusaha untuk sampai kesana, amat kesulitan sedikit kerana kekangan pengangkutan dan jarak kediaman kami berbeza. Ada yang jauh dan ada yang dekat dengan tempat berkumpul. Alahmdulillah, walaupun saya tinggal luar Universiti Malaya masih mampu datang awal. 

 
HARI PERTAMA : SABTU 18 MEI 2013 

Tibalah masa dan hari yang dijanjikan. Alhamdulillah apa yang dirancang oleh Ummi dan kami semuanya dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Saya dan sahabat serumah iaitu Wan Ummu Habibah berusaha  bersiap lebih awal bagi meneruskan perjalanan yang sedikit jauh. Kami mengambil keputusan untuk menahan sebuah teksi untuk mempermudahkan perjalanan kami kedestinasi. Setelah sampai dan keluar dari perut teksi, alangkah lega kerana bas kami tiba bersama. Sebelum menaiki bas, kami di’hadiahkan’ oleh Ummi sebungkus nasi lemak, sebuku roti dan sebotol air mineral. Cukup untuk mengisi perut bagi meneruskan perjalanan yang setersunya.



              Perjalanan kami tidak seperti yang dirancang kerana terdapat kelewatan daripada sahabat-sahabat lain menyebabkan bas yang sepatutnya sudah bergerak pada jam 7.00 pagi sedikit terganggu dan tergendala. Perjalanan kami akhirnya bermula sekitar 7.30 pagi dari tempat berkumpul.
Akademi pengajian Islam Universiti Malaya

            Sebelum kami bertolak, Ummi telah memperkenalkan kami seorang daripada pelajar Ijazah Tinggi Jabatan Akidah iaitu Encik Nizam. Beliau akan mengetuai perjalanan kami ke Melaka. Setelah doa dibaca bas bergerak menuju ke kolej 11 bagi mengambil sahabat-sahabat yang sabar menunggu disana. Selain daripada bas, Ummi dan Kak Su mengiringi kami dengan kenderaan masing-masing. Begitu juga ada segelintir sahabat-sahabat kami menaiki kereta lain kerana jumlah pelajar Ummi melebihi jumlah sebuah bas. Seramai lebih kurang 50 orang pelajar termasuk Ummi dan Kak Su serta pelajar Ummi yang lain menyertai konvoi ilmu pada kali ini.
Hero2 JDPI

            Kemeriahan konvoi kami membuatkan senyuman tidak lekang dibibir diiringi rasa teruja untuk cepat sampai di Melaka. Negeri yang tidak pernah saya jejak sebelum ini. Memikirkan pertama kali bakal menjejakkan kaki di sana hati benar-benar menguntum rasa bahagia kerana selain daripada membuat kajian kami boleh mengutip pengalaman lain disana.

Rasa mengantuk setiap kali menaiki kenderaan sentiasa menjadi perkara tabiat bagi saya. Dibuai oleh kedamaian alam dan leggokan bas membuatkan mata layu mengajak untuk lena buat seketika. Setibanya kami di Bandar Hilir, Melaka setelah mengharungi 2 jam lebih perjalanan dengan pelbagai aktiviti peribadi dari ke Kuala Lumpur Ke Melaka. Maka kenallah saya akan bandar Melaka yang bersejarah yang penuh keunikan.

Teman-teman mesra
Mereka juga
DESTINASI PERTAMA
Destinasi pertama kami ialah Cheng Hoong Ten Temples. Setelah keluar dari perut bas, sahabat-sahabat teruja ingin bergambar kenangan dengan kawasan sekitar. Unik, kerana terdapat binaan kapal gergasi, kincir air dan kawasan yang dipenuhi dengan pelancong tempatan dan asing. Kawasan temples sedikit jauh dan perlu melalui jalan yang sedikit sempit. Disebabkan saiz bas tidak mampu untuk menyelusuri jalan tersebut, pemandu bas terpaksa memberhentikan kami jauh dari kawasan itu. Kami perlu berjalan kaki dari tempat parking hingga ke sana. Tanpa arah yang betul kami hanya mengikut kaki melangkah, sekumpulan yang lain sedikit ketinggalan. Mujurlah kami terserempak dengan seorang pelajar Ummi iaitu kak Nurhanisah daripada pelajar PHD Jabatan Akidah,  tanpa menunggu yang lain dia terus mengajak kami untuk menaiki kereta yang diparking berdekatan. Perjalanan kami dipermudahkan lagi kerana tidak perlu berpanas terik untuk ke sana. Alhamdulillah.
 
Saat tiba di destinasi yang ditunggu-tungu, kami begitu teruja melihat rata-rata kaum Cina sedang melakukan upacara sembahyang. Tetapi hati menggetus satu perasaan pelik dan unik dengan kepercayaan mereka. Kawasan yang dipenuhi dengan pelbagai benda asing bagi saya dan penganut Islam yang lain. Suasana sedikit diselangi dengan bunyi bingit, asap, suara-suara sami dan sebagainya. Pelbagai persoalan mula timbul dalam benak kami. Oleh itu terjadilah pelbagai jenis sesi temu bual oleh sahabat-sahabat. Posisi saya lebih kepada juru kamera, bekerjasama dengan sahabat-sahabat yang lain supaya ada yang mencatit, menemubual, melontar persoalan dan sebagainya. Pelbagai jenis objek menjadi tumpuan saya dan sahabat lain memainkan peranan masing-masing menebual orang disekitar kuil.
 

Pada awalnya kami hanya melihat dari luar upacara tersebut sedang berjalan. Kami amat beruntung kerana upacara itu berlaku setahun sekali. Upacara tersebut dikenali sebagai North Star yang mana perayaan tersebut disambut setahun sekali dalam kalendar cina. Ketika upacara ini berlangsung kami melihat mereka barisan sami yang sedang membaca sesuatu dalam kertas panjang berwarna pink. Saya melihat salah seorang auntie yang menjaga tempat itu, sedang mencatat sesuatu dilembaran kertas tersebut. Tanpa membuang masa soalan diaju, rupanya tu adalah senarai nama-nama orang-orang cina atau penganut yang meminta untuk didoakan kebaikan sempena perayaan North Star. Namun sebelum nama itu ditulis, mereka perlu membayar sedikit jumlah wang. Menurutnya lagi, ada yang telah menempah ruang nama yang akan didoakan untuk tahun yang akan datang.
 
            Semasa sedang meneroka dan bergambar dalam kawasan kuil, saya memerhatikan pelbagai gelagat penganut sedang melakukan sembahnyang, ada yang sedang mencurahkan air jernih keatas tokong Buddha yang indah dihiasi bunga-bungan diatas meja, cantik dipandang kerana bunga yang digunakan masih segar, ada juga sedang berdoa memohon hajat kepada dewa, menilik nasib dengan menggunakan kayu-kayu kecil yang digoncang didalam bekas dan macam-macam lagi. Manakala diluar kuil pula saya melihat gelagat penganut lain yang sedang memasang colok atau dikenali sebagai Dupa, memutar-mutar kertas berwarna kuning. Kehadiran kami mereka tidak pedulikan. Meneruskan aktiviti mereka, kadang-kadang sedikit berbisik. Selsakah mereka dengan kehadiran kami?. Namun persoalan itu saya hanya memendamkan sahaja. Mungkin tidak perlu dijawab.

            Setiap pergerakan dan perlakuan yang mereka lakukan semasa upacara penyembahan dilakukan berdasarkan niat yang tersendiri, seperti memohon hajat kepada dewa-dewi, penghormatan kepada Buddha, penyembahan untuk si mati, memohon doa untuk mendapat pelindungan dan sebagainya. Penghormatan kepada Buddha telah dilakukan oleh sami sebagai seorang manusia yang hidup suatu ketika dulu dengan bersifat yang sangat mulia iaitu murni, bijaksana, penyayang dan banyak lagi. Perlakuan sami yang menyatukan kedua-dua belah tangan serta membongkokkan tangan dan mereka perlu memikirkan tentang Triratna. Mereka tidak boleh memikirkan tentang perkara lain semasa upacara itu sedang dijalankan seperti kata lain ialah khusyu’.
 
  Semasa di sana kami telah diberi taklimat oleh seorang wakil kuil iaitu Puan Josephine. Beliau merupakan pengakut Kristian katolik tetapi menjadi wakil pemudahcara agama di kuil tersebut bagi menerangkan berkenaan dengan kuil tersebut. Beliau juga menceritakan berkenaan dengan agama, kepercayaan, penganut, seni bina, budaya dan sebagainya dengan panjang lebar serta membawa kami melawat ke seluruh kawasan kuil tersebut. Menurutnya, kuil tersebut adalah gabungan daripada tiga kepercayaan iaitu Buddha, Confucious dan Toisme. Kuil tersebut adalah kuil yang tertua yang dibina di Malaysia dan dikenali sebagai Kwan Yin Teng. Nama kuil ini diletakkan berdasarkan daripada sumber sebuah batu bersurat yang ditemui dan ia mencatatkan bahawa ianya dibina oleh Chinnese Kapitan Tay Kie Kia tau Tay Hong Yong pada tahun 1660.
Ummi kami
            Semasa menjejakkan kaki disana jiwa seni saya amat tertarik dengan binaan kuil, patung-patung, ukiran, lukisan yang terdapat disitu. Setiapnya ada maksud dan yang tersendiri menurut kefahaman agama mereka. Ia amat berkait rapat dengan mitos dan kepercayaan terhadap nenek moyang mereka. Puan Josephine ada menerangkan serba sedikit tentang binaan bumbung kuil yang mana binaan itu adalah berkait rapat dengan budaya mereka dan Buddha. Selain daripada itu terdapat ukiran patung yang melambangkan kepercayaan mereka seperti contoh dua patung singa yang melambangkan dua jantina yang berbeza berada sebelah kiri dan kanan pintu utama kuil.

 

Replika singa jantan  yang terletak disebelah  kiri pintu masuk melambang kekuatan yang boleh menjaga keluarga dan bertanggungjawab bagi memastikan kemewahan dan kesenangan keluarga. Apabila diteliti replica tersebut kaki singa tersebut sedang mencengkam bebola dan di dalam mulutnya juga tedapat bebola. Ia menunjukkan tugasnya sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab untuk mencari rezeki atau nafkah kepada keluarga yang ditanggung. Manakala replica singa betina pula adalah lambing makhluk yang perlu dilindungi. Pada replika tersebut terdapat sesuatu yang dicengkam oleh singa tersebut iaitu symbol yang melambangkan ‘bayi’. Oleh itu, dapat kita katakana bahawa sebagai singa betina atau perempuan bertanggungjawab untuk menguruskan hal berkenaan rumah tangga dan memastikan hubungan kekeluargaan sentiasa erat bagi menjamin kebahagiaan. Selain daripada itu, tanggungjawab seorang wanita juga tidak hanya tertumpu kepada institusi kekeluargaan malah ia juga berkait dengan isu politik, ekonomi, masyarakat dan sebagainya. Tambahan pula mereka terlalu mempercayai ajaran nenek moyang yang mempercayai kuasa langit dan bumi, kerana mereka menganggap langit itu lebih berkuasa daripada bumi dan justeru itu mereka menganggap para dewa dan dewi tinggal di langit seperti Ocean god, Education god dan sebagainya. Penen panjang lebar dari Puan Josephine diteruskan di dalam bilik jawatankuasa, ada yang tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan tentang budaya dan agama tersebut. Perbagai persoalan terlah dilemparkan bagi mendapatkan penjelasan.
 
Setelah puas meneliti, mengkaji dan bergambar  di Cheng Hoong Teng Temples, perjalanan kami diteruskan pula kearah tempat penginapan iaitu homestay. Ruang masa untuk solat dan rehat yang sangat selesa. untuk ke destinasi yang ke seterusnya, kami sepatutnya bertolak diantara jam 4.30 petang, tetapi mendapat khabar gembira kerana boleh meneruskan rehat kami dan menyimpan tenaga untuk destinasi itu pada malamnya. 

Besaunya kapal. 'Singgah' dipelabuhan :D

DESTINASI KEDUA
Jam 7.45 malam kami mula bergerak untuk ke tempat parking bas untuk bertolak ke Sri Maha Mariamman di Kampung Chetti. Setibanya kami disana, perasaan teruja menerobos hati kami untuk terus mengkaji dan mengkaji agama lain. Saya meneruskan posisi saya sebagai juru gambar. Seperti setiap detik mahu sahaja saya merakam saat-saat indah bila berada dalam kelompok mereka. Suasana di kampung tersebut amat meriah dengan satu perayaan yang dijalankan setahun sekali iaitu perayaan Sri Muttu Mariamman. Kemeriahan ditambah lagi dengan kehadiran dari pelbagai kaum iaitu Chetti, Cina, Melayu dan lain-lain. Apa yang lebih menarik ialah wartawan singapura turut membuat liputan disana. 
Semasa kusyu’ menjadi penonton semasa upacara dijalankan saya memerhati pakaian, budaya, masyarakat yang ada disana. Rata-rata mereka memakai pakaian tradisional masyarakat chetti walaupun ada yang berbangsa cina. Saya juga berkesempatan menegur dua orang auntie yang sedang mengikuti upacara tersebut. Melihat dia berkaki ayam terlintas dihati saya untuk bertanya. Rupanya itu adalah tanda hormat mereka bagi menjaga adab semasa upacara tersebut ketika menunggu roh ‘dato’ (Dato’ Chachar’) turun pada malam upacara itu. Dato Chachar adalah gelaran kepada Sri Muttu Mariamman kerana semasa hayatnya, beliau merupakan pawang yang dapat menyembuhkan pelbagai penyakit kulit. Oleh kerana itulah beliau dinamakan Dato’ Chachar. 
Masyarakat Chetti amat unik kerana sepanjang dalam perjalanan menujuk ke Kuil tersebut kami melalui lorong dikawasan perumahan. Terdapat banyak lukisan-lukisan yang dinamakan sebagai ‘kolam’ dilakar diatas jalan. Pelbagai warna dan bentuk dapat dilihat, ia melambangkan kekreatifan mereka dalam mencorak budaya. Semasa melalui lorong itu juga kami dapat lihat kediaman-kediaman mereka dihiasi oleh daun-daun kelapa yang dianyam ringkas dan gambar-gambar dewa dan dewi mereka di letakkan di dinding luar rumah. Tujuannya ialah sebagai pelindung daripada segala musibah, roh jahat serta member kesejahteraan kepada mereka sekeluarga.
Dewa Dewi katanya

            Dari jauh sudah kedengaran muzik-muzik ritual dimainkan bagi memanggil roh serta tarian-tarian keagamaan dilenggokkan. Apa yang mengejutkan ialah, penari tersebut berbangsa cina dan bukan chetti. Mungkin agak pelik disini, namun itulah hakikat penduduk kampung tersebut kerana majoriti mereka percaya akan kewujudan agama tersebut dan turut sama melakukan upacara kerana ia bersifat terbuka untuk sesiapa sahaja memohon hajat kepada Dato’ Chachar.
Penulis bersama sahabat-sahabat dan penduduk

          Semasa upacara rancak berlangsung, kami menemuramah seorang Uncle turut sama menyambut upacara tersebut. Apa yang kami dengar jawapan dari bibirnya ialah tentang adat mereka dalam menyambut perayaan tersebut. Menurutnya mereka perlu berpuasa, puasa yang dimaksudkan disini ialah berpuasa dari memakan makanan yang berunsur darah dan daging. Mereka wajib memakan sayur sahaja dan menjadi vegetarian selama sepuluh hari sebelum hari tersebut. Perayaan ini berlangsung pada bulan Mei atau dikenali sebagai Chettirai Masam dalam kalendar mereka.
 
            Apa yang kami dapat disini ialah berkenaan kepercayaan mereka begitu kuat terhadap dewa dan dewi. Dewi mariamman adalah salah satunya menjadi tarikan untuk kami terus bertanya. Beliau merupakan makhluk yang dihormati dan juga individu yang sangat berkait rapat dengan dewa Shiva, kerana dewi tersebut adalah isteri kepada dewa Shiva. Namun terdapat kecelaruan disini kerana terdapat individu lain yang menjadi isteri yang diiktiraf iaitu Pharvati. Tetapi Mariamman lebih terkenal berbanding Pharvati kerana beliau amat istimewa kerana boleh  menjelma dalam pelbagai bentuk dan keadaan.
            Taklimat juga diberikan kepada kami bagi mengenali dengan lebih dekat tentang agama tersebut. Encik Mohan iaitu setiausaha dalam organisasi mereka telah dipertanggungjawabkan untuk member taklimat kepada kami dalam bilik bacaan berhampiran dengan kuil.
 
Dalam rancak upacara itu berlangsung, ruang didalam kuil sesak dengan ramai orang, niat dihati ingin sekali diri ini menjejakkan kaki ke dalam kuil tersebut kerana perasan ingin tahu terlalu kuat ingin mengetahui apa yang mereka lakukan dan dikhabarkan ada seorang pawang didalamnya yang dapat mengubati penyakit kulit. Oleh kerana terlalu ramai orang bersesak, saya membatalkan niat tersebut dan memberi ruang kepada yang lebih memerlukan. Menurut sahabat saya, mereka seperti dirasuk ketika melakukan upacara dan keadaan mereka berada dalam alam tidak sedar. Ketika ini dewa Katharayan dan Kalthusami telah memasuki kedalam badan mereka dan gambaran dewa tersebut ada dalam bentuk patung. Terdapat tiga buah patung yang terletak disana, ia terdiri daripada patung wanita iaitu bernama Maharajmi dan patung lelaki bernama Katharayan serta bernama Klathusami. Menurut penganut disitu, Katharayan dan Kalthusami merupakan anak kepada Maharajmi yang berpangkat panglima.
 
Sepanjang Encik Mohan member taklimat, beliau banyak merenangkan berkenaan dengan budaya mereka, tidak dari segi agama kerana orang yang sepatutnya member taklimat tersebut ialah Encik Ganesan, beliau merupakan setiausaha kehormat disitu. Beliau menceritakan tentang latar belakang masyarakat, sejarah, perkembangan masyarakat Chetti yang mana terbentuk hasil daripada kahwin campur diantara orang Hindu dari India dan orang-orang tempatan. Maka wujudlah beberapa jenis keturunan seperti Chetti, Mudaliar ,Narker, Rajah, Padiachee, Pillay, Pathair, Konar dan  Pandaram. Manakala dari segi budaya tradsional pula beliau menerangkan tentang makanan traditional mereka sama seperti makanan melayu dan tidak jauh bezanya. Diantara makanan yang dimaksudkan ialah seperti lauk pauk yang pedas pindang iris, lauk pindang, lauk haram jadah, lauk nenas goreng asam, telur ikan masak belimbing, timun santan, sambal timun dan lain-lain. Manakala kuih muih pula ialah pulut tekan atau seri kaya, kuih bingka ubi, beras, apam berkuah, kuih bongkong (tapioca), kuih sesagun, kanda kasturi (bentuk segitiga), kuih ros, koya kacang dan banyak lagi. Selain makanan beliau menceritakan tentang adat mereka tentang bertindik ditelinga kanak-kanak bagi berumur satu tahun dan upacara Sandanghu iaitu upacara dilakukan untuk wanita yang telah mencapai umur dewasa. Selain daripada itu, mereka juga turut meraikan perayaan tertentu seperti Perayaan Deepavali, Ponggol, perayaan mariammy atau Dato’ Chachar, Vithu Ponggol atau Thai ponggol dan lain-lain lagi.
Inche Mohan
Selepas selesai taklimat dan upacara hamper tamat, kami mengambil keputusan untuk pulang kerana ada aktiviti lain yang lebih menarik menunggu kami selepas itu. Sebelum bertolak, hati tertarik untuk membeli kerepek dan juga muruku sebagai makanan ringan dalam perjalanan pada malam itu. Khabar gembira dari Encik Nizam disampaikan ditelinga kami, berpeluang untuk berjalan-jalan disekitar bandar Melaka bagi menghilangkan rasa bosan kerana waktu ketika itu masih awal untuk pulang berehat. Setelah penat menyelongkar kawasan tersebut, kami sempat membeli beberapa jenis buah tangan di pasar malam berdekatan sebagai cenderamata kenang-kenangan untuk dibawa pulang. Jam 12.00 malam kami pulang dengan perasaan riang namun kepenatan.

HARI KEDUA : 19 MEI 2013 AHAD
Bersiap siaga
DESTINASI KETIGA
Sampai sudah
Laman gereja
Pada hari kedua pengembaraan, esoknya kami bersiap untuk meneruskan perjalanan kedestinasi yang ke tiga iaitu Gereja St. Peter. Gereja ini adalah gereja tertua di Malaysia. Ianya dibina untuk menyebarkan fahaman kristian katolik kepada penduduk setempat. Tapak gereja ini disumbangkan oleh seorang pembesar Belanda yang bernama Franz Amboer menandakan tamatnya permusuhan fahaman pembinaan Gereja Katolik di Melaka. Reka bentuk gereja ini mirip kepada reka bentuk gereja yang terdapat di Portugal. Gereja ini terletak jauh dari penginapan kami iaitu di Jalan Bendahara. Pada hari lawatan tersebut kami dikejutkan dengan satu lagi jenis ibadat dari agama lain yang tidak pernah saya lihat dengan mata saya sendiri sebelum ini. Hari tersebut adalah hari yang menjadi hari keutamaan penganut kristian untuk melakukan sembahyang iaitu hari ahad. Setelah sampai ke kawasan gereja, perkara pertama yang saya lihat adalah arca dan juga perahu yang diletakkan dikawasan gereja, ia seolah-olah taman dan mempunyai arca yang berbentuk lelaki dan juga perempuan. Selain itu, terdapat ramai anak muda sebaya kami yang berpakian berwarna merah berada diperkarangan gereja tersebut. Rupanya mereka adalah kumpulan koir dan juga ditugaskan untuk menyambut kedatangan kami ke sana. Melihat akan kemesraan dan kelembutan mereka ketika menyambut kedatangan kami, ia merupakan suatu tarikan dimata kami. Walaupun lain bangsa dan agama kami tetap dilayan dengan baik.
Naik tingkat atas
            Setelah beberapa minit kami berlegar diperkarangan gereja, kami dijemput oleh salah seorang wakil mereka untuk masuk kedalam bagi sama-sama menyertai mereka dalam upacara tersebut. Pertama kali melangkah, hati berbunga kerana berjaya memiliki pengalaman tersebut. Kami dibawa oleh wakil tersebut iaitu Encik Tony untuk menaiki ke bahagian atas gereja, mengatur langkah dengan keadaan tangga yang kecil, sempit serta berputar menyebabkan hati bimbang takut terjatuh. Suasana tempatnya seperti loteng rumah. Dengan adanya loteng itu kami boleh melihat upacara itu dari atas. Terdapat beberapa bangku panjang untuk duduk. Semasa upacara itu berlangsung, tanpa sedar ada lagi kumpulan gerakan NGO muslim datang untuk melakukan aktiviti yang sama. Mereka diketuai oleh penceramah bebas iaitu Lim Jooi Soon atau dikenali sebagai Bro Lim. Saya tersenyum sendiri mengingatkan pengalaman saya mendengar ‘talk’ beliau semasa belajar di Nilam Puri suatu ketika dahulu.

Bro Lim bersama anak didiknya, Ummi Dija sempat menyapa :)

            Setelah bermulanya upacara, penganut yang berada diluar dan perkarangan gereja berarak masuk bersama Ketua Paderi iaitu Father Michael kedalam gereja. Keliahatan father itu memakai jubah putih didalam dan dilaos jubah merah diluar. Nyanyian keagamaan bermula, mereka kusyu’ menyanyikan lagu itu beramai-ramai berpandukan slide dihadapan mereka. Ketua paderi dan pembantunya naik ke tempat khas dihadapan penganut yang yang lain. Tempat itu dinamakan sebagai Altar yang berada dipentas, ia seolah-olah mimbar bagi orang Islam tetapi berbeza bentuk dan fungsi. Bagi mereka Altar itu adalah ‘kiblat’ mereka. Semasa upacara berlansung pelbagai lagu-lagu kerohanian yang mengagungkan Jesus dinyanyikan dan diselangi pula dengan bacaan-bacaan kitab bible dalam bahasa Inggeris. Setelah itu, tiba masanya father Michael berucap dan berdoa untuk kesejahteraan mereka dan penganut-penganut kristian. Selain daripada itu, terdapat juga persembahan koir daripada anak muda yang berbaju merah yang dilihat diluar gereja sebentar tadi. Ada sesuatu yang menarik minat kami, ialah beberapa orang wakil gereja datang kemudian menghulurkan sejenis uncang yang bertangkai panjang menghulurkannya kepada penganut-penganut yang lain mengikut barisan bagi mengutip derma. Ia juga diselangi lagu berkenaan dengan amalan kebaikan dalam mendengar.  
    
Sebelum berakhirnya upacara, ada satu lagi perkara yang menjadi tarikan kami iaitu berkenaan dengan upacara santapan. Dalam upacara ini mereka perlu memakan sejenis roti dan ia juga dihidang dengan arak. Ia adalah melambangkan darah dan daging Jesus. Menurut kepercayaan mereka roti dan arak itu akan bertukar menjadi darah dan daging  Jesus. Ia bertujuan supaya makanan dan minuman itu sebagai lambang al-Maseh telah masuk kedalam tubuh mereka serta tanda taat terhadap ajarannya. Ia juga demi harapan dan impian seluruh penganut kristian meraikan kedatangan semula al-Maseh ke dunia. Selepas selesai memakan roti tersebut mereka akan berlutut demi memohon keampunan.
Suasana dalam gereja. Pestaim masuk.

Setelah upacara tamat, giliran kami pula untuk bersama Father Michael untuk mendengar taklimat tentang agama yang dianuti mereka. Semasa menunggu kami sempat menemubual seorang uncle , kami bertanyakan tentang perbezaan gereja Prostestan dan Katolik. Menurutnya gereja Prostestan hasil pecahan dari agama kristian yang berasalnya daripada Katolik. Kebanyakan gereja katolik terdapat di Malaysia dan gereja prostestan terdapat di negara lain. Ia juga berbeza dari segi binaannya seperti contoh ialah patung-patung yang terdapat dalam gereja katolik tidak terdapat di dalam gereja Prostestan. Ia juga berbeza dari segi kitab, terdapat 4 frasa yang tidak terdapat di dalam kitab fahaman Prostestan. Dalam meneliti gereja katolik, terdapat banyak patung-patung yang diletakkan di dalamnya seperti patung John The Baptist sedang‘membaptis’ Jesus, patung lady Mary, patung Jesus Christ sedang disalib dan sebagainya. Semasa perkongsian bersama Father Michael, beliau memberi beberapa maklumat tentang agama yang dianutinya serta gereja yang menjadi pimpinannya, beliau menceritakan berkenaan dengan latar belakang gereja St. Peter. Semasa sesi soal jawab ada beberapa sahabat melemparkan soalan-soalan yang berkaitan dengan merpati, kalimah Allah dan sebagainya.


Dalam beberapa jam kami disana, akhirnya kami terpaksa menamatkan sesi taklimat kerana ada beberapa pasangan pengantin sedang menunggu untuk majlis mereka, oleh itu kami keluar dari gereja dan meneruskan sesi bergambar pada akhirnya sebelum bertolak pulang. Sebelum itu, kami dihadiahkan sekotak minuman oleh pihak gereja untuk menghilangkan rasa haus sepanjang kami disana. Selepas bergambar beramai-ramai di hadapan gereja, kami meneruskan perjalanan kami dengan berjalan-jalan di sekitar bandar Melaka untuk membeli- belah sebagai buah tangan untuk dibawa pulang. Selain daripada ilmu yang kami bawa pulang, kami juga berjaya membawa pulang beberapa barangan untuk kenang-kenangan. Kami juga diingatkan oleh Ummi untuk menyiapkan laporan sepanjang pengebaraan kami di sana.

Alhamdulillah, setelah dua hari saya mengembara meneroka ke medan kefahaman di Bandar Hilir, Melaka. Banyak perkara yang saya dapat untuk menjadikannya sebagai pengisian hidup dan bahan pembaikian diri. Setelah selamat sampai di rumah diantara jam 6.00 petang saya terus berfikir tentang kenangan-kenangan kami sepanjang disana. Terlalu banyak perkara yang menjadi muhasabah kepada saya, terutamanya hidup di dalam keindahan Islam dan diberi kefahaman yang jelas terhadapa akidah yang dipegang. Syukur terhadap Allah diatas nikmat-nikmat yang tidak putus dianugerahkan oleh-Nya sepanjang kita bernafas ini. Nikmat Islam dan Iman menjadi perkara terbesar dalam hidup sebagai hamba.
Sebagai ummat Islam, kita harus turun bersama ke medan yang penuh mehnah dan tribulasi demi menyebarkan benih-benih Islam walau jalan tidak seelok dan selurus yang diimpikan. Setiap perkara baik untuk kita lakukan sentiasa diiringi oleh perkara yang sering menghalang. Sebagai daie, kita wajib menyambut seruan Allah bagi melakukan amar maaruf nahi mungkar. Melihat senario masyarakat sekarang terdapat banyak dakyah-dakyah hitam yang  sering mengganggu gugat keharmonian Islam dalam mencemarkan fikrah masyarakat demi kepentingan agama mereka.

Oleh itu, sebagai pelajar, daie, hamba Allah, dan apa sahaja posisi kita didunia ini, kita adalah khalifah yang bertanggungjawab untuk berjuang dan menegakkan kalimah “La ilaha illa Allah, Muhammad Rusulullah” . Melalui sesi pembelajaraan dalam subjek kajian agama ini saya amat beruntung kerana dapat memperbanyakkan ilmu serta menguatkan hujjah untuk berdebat serta berdialog dengan mereka. Justeru itu, kami berharap agar semua yang bergelar muslim harus belajar dan mengenali agama lain bagi ilmu tambahan dan jalan untuk menarik mereka bersama dengan Nur Deen Islam.


sedikit bua tangan untuk adik-adik di kampung

1 comment:

Anonymous said...

Menarik...x smpai lgi sana..:)

Post a Comment