Assalamualaikum wbt
Bismillah.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan keluarga Baginda.
Erm, hari ini 'buku baru Masihi' 2015. Tapi bukanlah pokok untuk dibincangkan.
Minggu final exam. Last final exam sebagai seorang mahasiswa. Terasa rugi sekiranya input-input yang ditadah sepanjang 3 tahun setengah ini tidak dikongsi bersama. Rasanya tidak cukup dengan hanya sebaran melalui kata-kata. Berkongsi dengan sahabat-sahabat. Ada baik bila tugasan-tugasan yang telah diamanahkan suatu ketika dikongsi juga bersama warga maya yang lain.
Sudah lama tergerak hati nak kongsikan tentang pengalaman jaulah ke rumah-rumah ibadat agama lain. Tapi hari ni baru tergerak tangan nak merajinkan diri. huhu.
Melaka, bersama-sama teman seperjuangan (baca: sesabjek) dan pensyarah meneroka ruang agama lain untuk kajian dibawah subjek KAJIAN AGAMA. Teras pengajian ijazah sarjana muda usuluddin. Sedikit laporan yang telah kami 'persembahkan' untuk pensyarah, ana persembahkan di sini juga. Selamat berkongsi :)
...................................................................................................................................................................
Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah sekalian alam.
Selawat dan junjungan keatas baginda Rasulullah s.a.w, keluarga,
sahabat-sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in dan seterusnya. Alhamdulillah diatas
dua nikmat besar yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t yang tidak jemu menitip
kepada hamba-hambanya iaitu nikmat iman dan Islam. Ingin diri ini merakam
jutaan terima kasih kepada tenaga pengajar kami yang tersayang iaitu Ummi
Khadijah binti Mohd Hambali kerana banyak berkorban wang dan masa demi sebuah
pengembaraan besar dalam menjejak ilmu dan kefahaman. Tidak lupa juga tutor
kami yang tidak putus member tunjuk ajar setiap masa iaitu puan suhaida
shaharuddin atau lebih manja dengan panggilan ‘Kak Su’. Jasa mereka dalam
mencurah ilmu dalam subjek agama tidak dapat kami membalas dengan sepenuhnya.
Selain daripada itu, ingin juga saya membingkaikan ribuan terima kasih kepada
sahabat-sahabat seperjuangan yang sentiasa bersama dalam susah senang sepanjang
berjuang bersama.
|
Sebelum bertolak |
Dalam pengembaraan meneroka subjek ini bersama Ummi dan Kak Su
tercinta, ia tidak lengkap sekiranya kami tidak mengalami sendiri pengalaman
turun ke medan kefahaman. Subjek ini amat memberi tarikan yang kuat kepada saya
dan sahabat-sahabat kerana ia amat membantu kami dalam menguatkan diri serta
kefahaman. Walaubagaimanapun, bagi saya dan sahabat-sahabat dari Jabatan Dakwah
Dan Pembangunan Insan ia adalah satu asset ilmu yang perlu bagi setiap para
pendakwah bagi menguatkan hujah dalam bicara agama selain dari Islam. Selain
dari bergelumang dengan ilmu agama Islam, Ummi mengajak kami untuk meneroka
dengan lebih jauh iaitu mengkaji agama lain seperti Hindu, Buddha, Sikh,
Kristian dan banyak lagi. Kami tertarik untuk mengetahui dengan lebih terperinci
dari segi budaya, kepercayaan, amalan, perayaan dan sebagainya yang terkandung
di dalam subjek Kajian Agama. Oleh itu, Ummi dengan rasa senang hatinya
mengajak kami keluar ke bilik kuliah untuk sama-sama belajar di luar bilik
kuliah pula. Hati berbunga tatkala Ummi dengan penuh rasa kasih dan sayang sudi
membantu kami dalam proses pembelajaran kali ini. Setelah pembetukan organisasi
dilakukan maka lawatan telah dirancang dan ditetapkan tarikh pada 18-19 Mei
2013.
Tarikh ini adalah tarikh keramat bagi ku kerana buat pertama
kalinya bakal menjejakkan kaki ke rumah ibadat lain. Rasa gementar, juga tidak
sabar menghantui diri. Perkongsian saya untuk laporan kali ini titik langkah
kami bermula pada 6.30 pagi. Dimana saya dan juga rakan serumah mula bertolak
untuk berkumpul di Akademi pengajian Islam Universiti Malaya pada jam 7.00
pagi. Pelbagai ragam sahabat-sahabat yang berusaha untuk sampai kesana, amat
kesulitan sedikit kerana kekangan pengangkutan dan jarak kediaman kami berbeza.
Ada yang jauh dan ada yang dekat dengan tempat berkumpul. Alahmdulillah,
walaupun saya tinggal luar Universiti Malaya masih mampu datang awal.
HARI PERTAMA : SABTU 18 MEI 2013
Tibalah masa dan hari yang dijanjikan. Alhamdulillah apa yang
dirancang oleh Ummi dan kami semuanya dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Saya dan
sahabat serumah iaitu Wan Ummu Habibah berusaha
bersiap lebih awal bagi meneruskan perjalanan yang sedikit jauh. Kami
mengambil keputusan untuk menahan sebuah teksi untuk mempermudahkan perjalanan
kami kedestinasi. Setelah sampai dan keluar dari perut teksi, alangkah lega
kerana bas kami tiba bersama. Sebelum menaiki bas, kami di’hadiahkan’ oleh Ummi
sebungkus nasi lemak, sebuku roti dan sebotol air mineral. Cukup untuk mengisi
perut bagi meneruskan perjalanan yang setersunya.
Perjalanan kami tidak seperti yang dirancang kerana terdapat
kelewatan daripada sahabat-sahabat lain menyebabkan bas yang sepatutnya sudah
bergerak pada jam 7.00 pagi sedikit terganggu dan tergendala. Perjalanan kami
akhirnya bermula sekitar 7.30 pagi dari tempat berkumpul.
Akademi pengajian Islam Universiti Malaya
Sebelum kami
bertolak, Ummi telah memperkenalkan kami seorang daripada pelajar Ijazah Tinggi
Jabatan Akidah iaitu Encik Nizam. Beliau akan mengetuai perjalanan kami ke Melaka.
Setelah doa dibaca bas bergerak menuju ke kolej 11 bagi mengambil
sahabat-sahabat yang sabar menunggu disana. Selain daripada bas, Ummi dan Kak
Su mengiringi kami dengan kenderaan masing-masing. Begitu juga ada segelintir
sahabat-sahabat kami menaiki kereta lain kerana jumlah pelajar Ummi melebihi
jumlah sebuah bas. Seramai lebih kurang 50 orang pelajar termasuk Ummi dan Kak
Su serta pelajar Ummi yang lain menyertai konvoi ilmu pada kali ini.
|
Hero2 JDPI |
Kemeriahan konvoi
kami membuatkan senyuman tidak lekang dibibir diiringi rasa teruja untuk cepat
sampai di Melaka. Negeri yang tidak pernah saya jejak sebelum ini. Memikirkan
pertama kali bakal menjejakkan kaki di sana hati benar-benar menguntum rasa
bahagia kerana selain daripada membuat kajian kami boleh mengutip pengalaman
lain disana.
Rasa mengantuk setiap kali menaiki kenderaan sentiasa menjadi
perkara tabiat bagi saya. Dibuai oleh kedamaian alam dan leggokan bas
membuatkan mata layu mengajak untuk lena buat seketika. Setibanya kami di
Bandar Hilir, Melaka setelah mengharungi 2 jam lebih perjalanan dengan pelbagai
aktiviti peribadi dari ke Kuala Lumpur Ke Melaka. Maka kenallah saya akan
bandar Melaka yang bersejarah yang penuh keunikan.
|
Teman-teman mesra |
|
|
Mereka juga |
DESTINASI PERTAMA
Destinasi pertama kami ialah Cheng Hoong Ten Temples. Setelah
keluar dari perut bas, sahabat-sahabat teruja ingin bergambar kenangan dengan
kawasan sekitar. Unik, kerana terdapat binaan kapal gergasi, kincir air dan
kawasan yang dipenuhi dengan pelancong tempatan dan asing. Kawasan temples
sedikit jauh dan perlu melalui jalan yang sedikit sempit. Disebabkan saiz bas
tidak mampu untuk menyelusuri jalan tersebut, pemandu bas terpaksa
memberhentikan kami jauh dari kawasan itu. Kami perlu berjalan kaki dari tempat
parking hingga ke sana. Tanpa arah yang betul kami hanya mengikut
kaki melangkah, sekumpulan yang lain sedikit ketinggalan. Mujurlah kami
terserempak dengan seorang pelajar Ummi iaitu kak Nurhanisah daripada pelajar
PHD Jabatan Akidah, tanpa menunggu yang
lain dia terus mengajak kami untuk menaiki kereta yang diparking
berdekatan. Perjalanan kami dipermudahkan lagi kerana tidak perlu berpanas
terik untuk ke sana. Alhamdulillah.
Saat tiba di destinasi yang ditunggu-tungu, kami begitu teruja
melihat rata-rata kaum Cina sedang melakukan upacara sembahyang. Tetapi hati
menggetus satu perasaan pelik dan unik dengan kepercayaan mereka. Kawasan yang
dipenuhi dengan pelbagai benda asing bagi saya dan penganut Islam yang lain.
Suasana sedikit diselangi dengan bunyi bingit, asap, suara-suara sami dan
sebagainya. Pelbagai persoalan mula timbul dalam benak kami. Oleh itu
terjadilah pelbagai jenis sesi temu bual oleh sahabat-sahabat. Posisi saya
lebih kepada juru kamera, bekerjasama dengan sahabat-sahabat yang lain supaya
ada yang mencatit, menemubual, melontar persoalan dan sebagainya. Pelbagai
jenis objek menjadi tumpuan saya dan sahabat lain memainkan peranan
masing-masing menebual orang disekitar kuil.
Pada awalnya kami hanya melihat dari luar upacara tersebut sedang
berjalan. Kami amat beruntung kerana upacara itu berlaku setahun sekali.
Upacara tersebut dikenali sebagai North Star yang mana perayaan tersebut
disambut setahun sekali dalam kalendar cina. Ketika upacara ini
berlangsung kami melihat mereka barisan sami yang sedang membaca sesuatu dalam
kertas panjang berwarna pink. Saya melihat salah seorang auntie yang menjaga
tempat itu, sedang mencatat sesuatu dilembaran kertas tersebut. Tanpa membuang
masa soalan diaju, rupanya tu adalah senarai nama-nama orang-orang cina atau
penganut yang meminta untuk didoakan kebaikan sempena perayaan North Star.
Namun sebelum nama itu ditulis, mereka perlu membayar sedikit jumlah wang.
Menurutnya lagi, ada yang telah menempah ruang nama yang akan didoakan untuk
tahun yang akan datang.
Semasa sedang
meneroka dan bergambar dalam kawasan kuil, saya memerhatikan pelbagai gelagat
penganut sedang melakukan sembahnyang, ada yang sedang mencurahkan air jernih
keatas tokong Buddha yang indah dihiasi bunga-bungan diatas meja, cantik dipandang
kerana bunga yang digunakan masih segar, ada juga sedang berdoa memohon hajat
kepada dewa, menilik nasib dengan menggunakan kayu-kayu kecil yang digoncang
didalam bekas dan macam-macam lagi. Manakala diluar kuil pula saya melihat
gelagat penganut lain yang sedang memasang colok atau dikenali sebagai Dupa,
memutar-mutar kertas berwarna kuning. Kehadiran kami mereka tidak pedulikan.
Meneruskan aktiviti mereka, kadang-kadang sedikit berbisik. Selsakah mereka
dengan kehadiran kami?. Namun persoalan itu saya hanya memendamkan sahaja.
Mungkin tidak perlu dijawab.
Setiap pergerakan
dan perlakuan yang mereka lakukan semasa upacara penyembahan dilakukan
berdasarkan niat yang tersendiri, seperti memohon hajat kepada dewa-dewi,
penghormatan kepada Buddha, penyembahan untuk si mati, memohon doa untuk
mendapat pelindungan dan sebagainya. Penghormatan kepada Buddha telah dilakukan
oleh sami sebagai seorang manusia yang hidup suatu ketika dulu dengan bersifat
yang sangat mulia iaitu murni, bijaksana, penyayang dan banyak lagi. Perlakuan
sami yang menyatukan kedua-dua belah tangan serta membongkokkan tangan dan
mereka perlu memikirkan tentang Triratna. Mereka tidak boleh memikirkan tentang
perkara lain semasa upacara itu sedang dijalankan seperti kata lain ialah khusyu’.
Semasa di sana kami telah diberi taklimat oleh
seorang wakil kuil iaitu Puan Josephine. Beliau merupakan pengakut Kristian
katolik tetapi menjadi wakil pemudahcara agama di kuil tersebut bagi
menerangkan berkenaan dengan kuil tersebut. Beliau juga menceritakan berkenaan
dengan agama, kepercayaan, penganut, seni bina, budaya dan sebagainya dengan
panjang lebar serta membawa kami melawat ke seluruh kawasan kuil tersebut.
Menurutnya, kuil tersebut adalah gabungan daripada tiga kepercayaan iaitu
Buddha, Confucious dan Toisme. Kuil tersebut adalah kuil yang tertua yang
dibina di Malaysia dan dikenali sebagai Kwan Yin Teng. Nama kuil ini diletakkan
berdasarkan daripada sumber sebuah batu bersurat yang ditemui dan ia
mencatatkan bahawa ianya dibina oleh Chinnese Kapitan Tay Kie Kia tau
Tay Hong Yong pada tahun 1660.
|
Ummi kami |
Semasa menjejakkan
kaki disana jiwa seni saya amat tertarik dengan binaan kuil, patung-patung,
ukiran, lukisan yang terdapat disitu. Setiapnya ada maksud dan yang tersendiri menurut
kefahaman agama mereka. Ia amat berkait rapat dengan mitos dan kepercayaan
terhadap nenek moyang mereka. Puan Josephine ada menerangkan serba sedikit tentang
binaan bumbung kuil yang mana binaan itu adalah berkait rapat dengan budaya
mereka dan Buddha. Selain daripada itu terdapat ukiran patung yang melambangkan
kepercayaan mereka seperti contoh dua patung singa yang melambangkan dua
jantina yang berbeza berada sebelah kiri dan kanan pintu utama kuil.
Replika singa jantan
yang terletak disebelah kiri
pintu masuk melambang kekuatan yang boleh menjaga keluarga dan bertanggungjawab
bagi memastikan kemewahan dan kesenangan keluarga. Apabila diteliti replica
tersebut kaki singa tersebut sedang mencengkam bebola dan di dalam mulutnya
juga tedapat bebola. Ia menunjukkan tugasnya sebagai ketua keluarga yang
bertanggungjawab untuk mencari rezeki atau nafkah kepada keluarga yang
ditanggung. Manakala replica singa betina pula adalah lambing makhluk yang
perlu dilindungi. Pada replika tersebut terdapat sesuatu yang dicengkam oleh
singa tersebut iaitu symbol yang melambangkan ‘bayi’. Oleh itu, dapat kita
katakana bahawa sebagai singa betina atau perempuan bertanggungjawab untuk
menguruskan hal berkenaan rumah tangga dan memastikan hubungan kekeluargaan
sentiasa erat bagi menjamin kebahagiaan. Selain daripada itu, tanggungjawab
seorang wanita juga tidak hanya tertumpu kepada institusi kekeluargaan malah ia
juga berkait dengan isu politik, ekonomi, masyarakat dan sebagainya. Tambahan
pula mereka terlalu mempercayai ajaran nenek moyang yang mempercayai kuasa
langit dan bumi, kerana mereka menganggap langit itu lebih berkuasa daripada
bumi dan justeru itu mereka menganggap para dewa dan dewi tinggal di langit
seperti Ocean god, Education god dan sebagainya. Penen panjang lebar dari Puan
Josephine diteruskan di dalam bilik jawatankuasa, ada yang tidak melepaskan
peluang untuk bertanyakan tentang budaya dan agama tersebut. Perbagai persoalan
terlah dilemparkan bagi mendapatkan penjelasan.
Setelah
puas meneliti, mengkaji dan bergambar di
Cheng Hoong Teng Temples, perjalanan kami
diteruskan pula kearah tempat penginapan iaitu homestay. Ruang masa
untuk solat dan rehat yang sangat selesa. untuk ke destinasi yang ke seterusnya,
kami sepatutnya bertolak diantara jam 4.30 petang, tetapi mendapat khabar
gembira kerana boleh meneruskan rehat kami dan menyimpan tenaga untuk destinasi
itu pada malamnya.
|
Besaunya kapal. 'Singgah' dipelabuhan :D |
DESTINASI KEDUA
Jam
7.45 malam kami mula bergerak untuk ke tempat parking bas untuk bertolak ke Sri
Maha Mariamman di Kampung Chetti. Setibanya kami disana, perasaan teruja
menerobos hati kami untuk terus mengkaji dan mengkaji agama lain. Saya
meneruskan posisi saya sebagai juru gambar. Seperti setiap detik mahu sahaja saya
merakam saat-saat indah bila berada dalam kelompok mereka. Suasana di kampung
tersebut amat meriah dengan satu perayaan yang dijalankan setahun sekali iaitu
perayaan Sri Muttu Mariamman. Kemeriahan ditambah lagi dengan kehadiran dari pelbagai
kaum iaitu Chetti, Cina, Melayu dan lain-lain. Apa yang lebih menarik ialah
wartawan singapura turut membuat liputan disana.
Semasa
kusyu’ menjadi penonton semasa upacara dijalankan saya memerhati pakaian,
budaya, masyarakat yang ada disana. Rata-rata mereka memakai pakaian
tradisional masyarakat chetti walaupun ada yang berbangsa cina. Saya juga
berkesempatan menegur dua orang auntie yang sedang mengikuti upacara tersebut.
Melihat dia berkaki ayam terlintas dihati saya untuk bertanya. Rupanya itu
adalah tanda hormat mereka bagi menjaga adab semasa upacara tersebut ketika
menunggu roh ‘dato’ (Dato’ Chachar’) turun pada malam upacara itu. Dato Chachar
adalah gelaran kepada Sri Muttu Mariamman kerana semasa hayatnya, beliau
merupakan pawang yang dapat menyembuhkan pelbagai penyakit kulit. Oleh kerana
itulah beliau dinamakan Dato’ Chachar.
Masyarakat Chetti amat unik kerana sepanjang dalam perjalanan
menujuk ke Kuil tersebut kami melalui lorong dikawasan perumahan. Terdapat
banyak lukisan-lukisan yang dinamakan sebagai ‘kolam’ dilakar diatas jalan.
Pelbagai warna dan bentuk dapat dilihat, ia melambangkan kekreatifan mereka
dalam mencorak budaya. Semasa melalui lorong itu juga kami dapat lihat
kediaman-kediaman mereka dihiasi oleh daun-daun kelapa yang dianyam ringkas dan
gambar-gambar dewa dan dewi mereka di letakkan di dinding luar rumah. Tujuannya
ialah sebagai pelindung daripada segala musibah, roh jahat serta member
kesejahteraan kepada mereka sekeluarga.
|
Dewa Dewi katanya |
Dari
jauh sudah kedengaran muzik-muzik ritual dimainkan bagi memanggil roh serta
tarian-tarian keagamaan dilenggokkan. Apa yang mengejutkan ialah, penari
tersebut berbangsa cina dan bukan chetti. Mungkin agak pelik disini, namun
itulah hakikat penduduk kampung tersebut kerana majoriti mereka percaya akan kewujudan
agama tersebut dan turut sama melakukan upacara kerana ia bersifat terbuka
untuk sesiapa sahaja memohon hajat kepada Dato’ Chachar.
|
Penulis bersama sahabat-sahabat dan penduduk |
Semasa upacara rancak berlangsung, kami menemuramah seorang Uncle
turut sama menyambut upacara tersebut. Apa yang kami dengar jawapan dari
bibirnya ialah tentang adat mereka dalam menyambut perayaan tersebut.
Menurutnya mereka perlu berpuasa, puasa yang dimaksudkan disini ialah berpuasa
dari memakan makanan yang berunsur darah dan daging. Mereka wajib memakan sayur
sahaja dan menjadi vegetarian selama sepuluh hari sebelum hari tersebut.
Perayaan ini berlangsung pada bulan Mei atau dikenali sebagai Chettirai Masam
dalam kalendar mereka.
Apa
yang kami dapat disini ialah berkenaan kepercayaan mereka begitu kuat terhadap
dewa dan dewi. Dewi mariamman adalah salah satunya menjadi tarikan untuk kami
terus bertanya. Beliau merupakan makhluk yang dihormati dan juga individu yang
sangat berkait rapat dengan dewa Shiva, kerana dewi tersebut adalah isteri
kepada dewa Shiva. Namun terdapat kecelaruan disini kerana terdapat individu
lain yang menjadi isteri yang diiktiraf iaitu Pharvati. Tetapi Mariamman lebih
terkenal berbanding Pharvati kerana beliau amat istimewa kerana boleh menjelma dalam pelbagai bentuk dan keadaan.
Taklimat juga diberikan kepada kami
bagi mengenali dengan lebih dekat tentang agama tersebut. Encik Mohan iaitu
setiausaha dalam organisasi mereka telah dipertanggungjawabkan untuk member
taklimat kepada kami dalam bilik bacaan berhampiran dengan kuil.
Dalam rancak upacara itu berlangsung, ruang didalam kuil sesak
dengan ramai orang, niat dihati ingin sekali diri ini menjejakkan kaki ke dalam
kuil tersebut kerana perasan ingin tahu terlalu kuat ingin mengetahui apa yang
mereka lakukan dan dikhabarkan ada seorang pawang didalamnya yang dapat
mengubati penyakit kulit. Oleh kerana terlalu ramai orang bersesak, saya
membatalkan niat tersebut dan memberi ruang kepada yang lebih memerlukan.
Menurut sahabat saya, mereka seperti dirasuk ketika melakukan upacara dan
keadaan mereka berada dalam alam tidak sedar. Ketika ini dewa Katharayan dan
Kalthusami telah memasuki kedalam badan mereka dan gambaran dewa tersebut ada
dalam bentuk patung. Terdapat tiga buah patung yang terletak disana, ia terdiri
daripada patung wanita iaitu bernama Maharajmi dan patung lelaki bernama
Katharayan serta bernama Klathusami. Menurut penganut disitu, Katharayan dan
Kalthusami merupakan anak kepada Maharajmi yang berpangkat panglima.
Sepanjang Encik Mohan member taklimat, beliau banyak merenangkan
berkenaan dengan budaya mereka, tidak dari segi agama kerana orang yang
sepatutnya member taklimat tersebut ialah Encik Ganesan, beliau merupakan
setiausaha kehormat disitu. Beliau menceritakan tentang latar belakang
masyarakat, sejarah, perkembangan masyarakat Chetti yang mana terbentuk hasil
daripada kahwin campur diantara orang Hindu dari India dan orang-orang
tempatan. Maka wujudlah beberapa jenis keturunan seperti Chetti, Mudaliar
,Narker, Rajah, Padiachee, Pillay, Pathair, Konar dan Pandaram. Manakala dari segi budaya
tradsional pula beliau menerangkan tentang makanan traditional mereka sama
seperti makanan melayu dan tidak jauh bezanya. Diantara makanan yang dimaksudkan
ialah seperti lauk pauk yang pedas pindang iris, lauk pindang, lauk haram
jadah, lauk nenas goreng asam, telur ikan masak belimbing, timun santan, sambal
timun dan lain-lain. Manakala kuih muih pula ialah pulut tekan atau seri kaya,
kuih bingka ubi, beras, apam berkuah, kuih bongkong (tapioca), kuih sesagun,
kanda kasturi (bentuk segitiga), kuih ros, koya kacang dan banyak lagi. Selain
makanan beliau menceritakan tentang adat mereka tentang bertindik ditelinga
kanak-kanak bagi berumur satu tahun dan upacara Sandanghu iaitu upacara
dilakukan untuk wanita yang telah mencapai umur dewasa. Selain daripada itu, mereka
juga turut meraikan perayaan tertentu seperti Perayaan Deepavali, Ponggol, perayaan
mariammy atau Dato’ Chachar, Vithu Ponggol atau Thai ponggol dan lain-lain
lagi.
|
Inche Mohan |
Selepas selesai taklimat dan upacara hamper tamat, kami mengambil
keputusan untuk pulang kerana ada aktiviti lain yang lebih menarik menunggu
kami selepas itu. Sebelum bertolak, hati tertarik untuk membeli kerepek dan
juga muruku sebagai makanan ringan dalam perjalanan pada malam itu. Khabar
gembira dari Encik Nizam disampaikan ditelinga kami, berpeluang untuk
berjalan-jalan disekitar bandar Melaka bagi menghilangkan rasa bosan kerana
waktu ketika itu masih awal untuk pulang berehat. Setelah penat menyelongkar
kawasan tersebut, kami sempat membeli beberapa jenis buah tangan di pasar malam
berdekatan sebagai cenderamata kenang-kenangan untuk dibawa pulang. Jam 12.00
malam kami pulang dengan perasaan riang namun kepenatan.
HARI KEDUA : 19 MEI 2013 AHAD
|
Bersiap siaga |
DESTINASI KETIGA
|
Sampai sudah |
|
Laman gereja |
Pada hari kedua pengembaraan, esoknya kami bersiap untuk meneruskan
perjalanan kedestinasi yang ke tiga iaitu Gereja St. Peter. Gereja ini adalah
gereja tertua di Malaysia. Ianya dibina untuk menyebarkan fahaman kristian
katolik kepada penduduk setempat. Tapak gereja ini disumbangkan oleh seorang
pembesar Belanda yang bernama Franz Amboer menandakan tamatnya permusuhan
fahaman pembinaan Gereja Katolik di Melaka. Reka bentuk gereja ini mirip kepada
reka bentuk gereja yang terdapat di Portugal. Gereja ini terletak jauh dari
penginapan kami iaitu di Jalan Bendahara. Pada hari lawatan tersebut kami
dikejutkan dengan satu lagi jenis ibadat dari agama lain yang tidak pernah saya
lihat dengan mata saya sendiri sebelum ini. Hari tersebut adalah hari yang
menjadi hari keutamaan penganut kristian untuk melakukan sembahyang iaitu hari
ahad. Setelah sampai ke kawasan gereja, perkara pertama yang saya lihat adalah
arca dan juga perahu yang diletakkan dikawasan gereja, ia seolah-olah taman dan
mempunyai arca yang berbentuk lelaki dan juga perempuan. Selain itu, terdapat
ramai anak muda sebaya kami yang berpakian berwarna merah berada diperkarangan
gereja tersebut. Rupanya mereka adalah kumpulan koir dan juga ditugaskan untuk
menyambut kedatangan kami ke sana. Melihat akan kemesraan dan kelembutan mereka
ketika menyambut kedatangan kami, ia merupakan suatu tarikan dimata kami.
Walaupun lain bangsa dan agama kami tetap dilayan dengan baik.
|
Naik tingkat atas |
Setelah beberapa minit kami berlegar diperkarangan
gereja, kami dijemput oleh salah seorang wakil mereka untuk masuk kedalam bagi
sama-sama menyertai mereka dalam upacara tersebut. Pertama kali melangkah, hati
berbunga kerana berjaya memiliki pengalaman tersebut. Kami dibawa oleh wakil
tersebut iaitu Encik Tony untuk menaiki ke bahagian atas gereja, mengatur
langkah dengan keadaan tangga yang kecil, sempit serta berputar menyebabkan
hati bimbang takut terjatuh. Suasana tempatnya seperti loteng rumah. Dengan
adanya loteng itu kami boleh melihat upacara itu dari atas. Terdapat beberapa
bangku panjang untuk duduk. Semasa upacara itu berlangsung, tanpa sedar ada
lagi kumpulan gerakan NGO muslim datang untuk melakukan aktiviti yang sama.
Mereka diketuai oleh penceramah bebas iaitu Lim Jooi Soon atau dikenali sebagai
Bro Lim. Saya tersenyum sendiri mengingatkan pengalaman saya mendengar ‘talk’
beliau semasa belajar di Nilam Puri suatu ketika dahulu.
|
Bro Lim bersama anak didiknya, Ummi Dija sempat menyapa :) |
Setelah
bermulanya upacara, penganut yang berada diluar dan perkarangan gereja berarak
masuk bersama Ketua Paderi iaitu Father Michael kedalam gereja. Keliahatan
father itu memakai jubah putih didalam dan dilaos jubah merah diluar. Nyanyian
keagamaan bermula, mereka kusyu’ menyanyikan lagu itu beramai-ramai berpandukan
slide dihadapan mereka. Ketua paderi dan pembantunya naik ke tempat khas dihadapan
penganut yang yang lain. Tempat itu dinamakan sebagai Altar yang berada
dipentas, ia seolah-olah mimbar bagi orang Islam tetapi berbeza bentuk dan
fungsi. Bagi mereka Altar itu adalah ‘kiblat’ mereka. Semasa upacara berlansung
pelbagai lagu-lagu kerohanian yang mengagungkan Jesus dinyanyikan dan diselangi
pula dengan bacaan-bacaan kitab bible dalam bahasa Inggeris. Setelah itu, tiba
masanya father Michael berucap dan berdoa untuk kesejahteraan mereka dan
penganut-penganut kristian. Selain daripada itu, terdapat juga persembahan koir
daripada anak muda yang berbaju merah yang dilihat diluar gereja sebentar tadi.
Ada sesuatu yang menarik minat kami, ialah beberapa orang wakil gereja datang
kemudian menghulurkan sejenis uncang yang bertangkai panjang menghulurkannya
kepada penganut-penganut yang lain mengikut barisan bagi mengutip derma. Ia
juga diselangi lagu berkenaan dengan amalan kebaikan dalam mendengar.
Sebelum berakhirnya upacara, ada satu lagi perkara yang menjadi
tarikan kami iaitu berkenaan dengan upacara santapan. Dalam upacara ini mereka
perlu memakan sejenis roti dan ia juga dihidang dengan arak. Ia adalah melambangkan
darah dan daging Jesus. Menurut kepercayaan mereka roti dan arak itu akan
bertukar menjadi darah dan daging Jesus.
Ia bertujuan supaya makanan dan minuman itu sebagai lambang al-Maseh telah
masuk kedalam tubuh mereka serta tanda taat terhadap ajarannya. Ia juga demi
harapan dan impian seluruh penganut kristian meraikan kedatangan semula
al-Maseh ke dunia. Selepas selesai memakan roti tersebut mereka akan berlutut
demi memohon keampunan.
|
Suasana dalam gereja. Pestaim masuk. |
Setelah upacara tamat, giliran kami pula untuk bersama Father
Michael untuk mendengar taklimat tentang agama yang dianuti mereka. Semasa
menunggu kami sempat menemubual seorang uncle , kami bertanyakan tentang
perbezaan gereja Prostestan dan Katolik. Menurutnya gereja Prostestan hasil
pecahan dari agama kristian yang berasalnya daripada Katolik. Kebanyakan gereja
katolik terdapat di Malaysia dan gereja prostestan terdapat di negara lain. Ia
juga berbeza dari segi binaannya seperti contoh ialah patung-patung yang
terdapat dalam gereja katolik tidak terdapat di dalam gereja Prostestan. Ia
juga berbeza dari segi kitab, terdapat 4 frasa yang tidak terdapat di dalam
kitab fahaman Prostestan. Dalam meneliti gereja katolik, terdapat banyak
patung-patung yang diletakkan di dalamnya seperti patung John The Baptist sedang‘membaptis’
Jesus, patung lady Mary, patung Jesus Christ sedang disalib dan sebagainya.
Semasa perkongsian bersama Father Michael, beliau memberi beberapa maklumat
tentang agama yang dianutinya serta gereja yang menjadi pimpinannya, beliau
menceritakan berkenaan dengan latar belakang gereja St. Peter. Semasa sesi soal
jawab ada beberapa sahabat melemparkan soalan-soalan yang berkaitan dengan
merpati, kalimah Allah dan sebagainya.
Dalam beberapa jam kami disana, akhirnya kami terpaksa menamatkan sesi
taklimat kerana ada beberapa pasangan pengantin sedang menunggu untuk majlis
mereka, oleh itu kami keluar dari gereja dan meneruskan sesi bergambar pada
akhirnya sebelum bertolak pulang. Sebelum itu, kami dihadiahkan sekotak minuman
oleh pihak gereja untuk menghilangkan rasa haus sepanjang kami disana. Selepas
bergambar beramai-ramai di hadapan gereja, kami meneruskan perjalanan kami
dengan berjalan-jalan di sekitar bandar Melaka untuk membeli- belah sebagai
buah tangan untuk dibawa pulang. Selain daripada ilmu yang kami bawa pulang,
kami juga berjaya membawa pulang beberapa barangan untuk kenang-kenangan. Kami
juga diingatkan oleh Ummi untuk menyiapkan laporan sepanjang pengebaraan kami
di sana.
Alhamdulillah, setelah dua hari saya mengembara meneroka ke medan
kefahaman di Bandar Hilir, Melaka. Banyak perkara yang saya dapat untuk
menjadikannya sebagai pengisian hidup dan bahan pembaikian diri. Setelah
selamat sampai di rumah diantara jam 6.00 petang saya terus berfikir tentang
kenangan-kenangan kami sepanjang disana. Terlalu banyak perkara yang menjadi
muhasabah kepada saya, terutamanya hidup di dalam keindahan Islam dan diberi
kefahaman yang jelas terhadapa akidah yang dipegang. Syukur terhadap Allah
diatas nikmat-nikmat yang tidak putus dianugerahkan oleh-Nya sepanjang kita
bernafas ini. Nikmat Islam dan Iman menjadi perkara terbesar dalam hidup
sebagai hamba.
Sebagai ummat Islam, kita harus turun bersama ke medan yang penuh
mehnah dan tribulasi demi menyebarkan benih-benih Islam walau jalan tidak seelok
dan selurus yang diimpikan. Setiap perkara baik untuk kita lakukan sentiasa
diiringi oleh perkara yang sering menghalang. Sebagai daie, kita wajib
menyambut seruan Allah bagi melakukan amar maaruf nahi mungkar. Melihat senario
masyarakat sekarang terdapat banyak dakyah-dakyah hitam yang sering mengganggu gugat keharmonian Islam
dalam mencemarkan fikrah masyarakat demi kepentingan agama mereka.
Oleh itu, sebagai pelajar, daie, hamba Allah, dan apa sahaja posisi
kita didunia ini, kita adalah khalifah yang bertanggungjawab untuk berjuang dan
menegakkan kalimah “La ilaha illa Allah, Muhammad Rusulullah” . Melalui
sesi pembelajaraan dalam subjek kajian agama ini saya amat beruntung kerana
dapat memperbanyakkan ilmu serta menguatkan hujjah untuk berdebat serta
berdialog dengan mereka. Justeru itu, kami berharap agar semua yang bergelar
muslim harus belajar dan mengenali agama lain bagi ilmu tambahan dan jalan
untuk menarik mereka bersama dengan Nur Deen Islam.
|
sedikit bua tangan untuk adik-adik di kampung |