sekadar peringatan. |
Tuesday, October 29, 2013
~ 4 Cara Menghidupkan HATI dengan Al-Quran ~
Bismillah..
Entry yang amat menarik untuk dikongsikan bersama para pembaca sekalian.. walau sekadar kopi pasta dari seorang kenalan. Ia amat bermakna untuk dijadikan sebagai panduan dalam menjaga hati. :)
HATI yang hidup menggerakkan potensi yang ada pada diri
seseorang. Sebaliknya, hati yang mati membunuh segala bakat dan potensi diri.
Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk
mendengar, melihat dan menerima kebenaran.
Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan
kekuatan. Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan penuh khusyu...k,
takwa serta kasih dan simpati kepada sesama makhluk.
Hati yang dihidupkan dengan al quran bersedia mematuhi
segala perintah syarak.
Dengan mematuhi segala perintah syarak barulah kehidupan
manusia akan sempurna. Bukankah Allah berfirman bermaksud:
“Sesungguhnya Al Qur'an ini membimbing ke jalan yang
lurus (benar).” (Surah al-Isra’, ayat 9)
Perkara ini disebutkan juga dalam firman-Nya bermaksud:
“Taha (maknanya hanya diketahui Allah). Kami tidak
menurunkan Al Qur'an kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai
peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; iaitu diturunkan daripada Allah
yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi?” (Surah Taha, ayat 1-4)
SYARAT UNTUK MENGHIDUPKAN HATI
Maka untuk menghidupkan hati dengan Al Qur'an, kita
memerlukan beberapa syarat:
PERTAMA, Al Qur'an hendaklah dibaca dengan tenang dan
khusyuk, dalam keadaan bersunyi diri (berkhalwah), terutama pada waktu tengah
malam atau fajar (Subuh). Allah berfirman bermaksud:
“Sesungguhnya membaca Al Qur'an pada waktu fajar (Subuh)
itu disaksikan malaikat.” (Surah al-Isra’, ayat 78).
KEDUA, membaca Al Qr'an dengan pengamatan maknanya
seperti yang dijelaskan dalam firman Allah bermaksud:
“Tidakkah mereka merenungi (tadabur) Al Qur'an itu?”
(Surah Muhammad, ayat 24)
Pembacaan yang disertai dengan renungan dan pengamatan
sedemikian akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang
terkandung dalam Al Qur'an.
Dengan perkataan lain, roh dari alam tinggi (alam
Ketuhanan) yang dibawa oleh Al Qur'an itu akan turun dan meresapi ke dalam hati
pembacanya kemudian ia menghidupkannya.
Dengan itu hati dapat mengenal kebenaran dengan mudah dan
mencintainya. Nilai kebenaran dan kebaikan akan tumbuh subur dalam jiwanya.
Lantas ia menyukai kedua-keduanya, tetapi membenci dan menentang kebatilan dan
kejahatan.
KETIGA, sentiasa bersikap bersedia untuk menerima
kebenaran Al Qur'an sebelum membaca atau mendengarnya.
Manusia sering dikuasai oleh hawa nafsunya. Segala keinginan
dunia (hingga membawa kepada kegilaan) adalah dinding (hijab) tebal yang
menutup hati seseorang itu sehingga menyebabkan enggan menerima hidayah Allah
melalui Al Qur'an.
KEEMPAT, merealisasikan kehambaan (‘ubudiyyah) diri
sewaktu membaca Al Qur'an.
Perasaan ini akan dapat menimbulkan keazaman untuk
merealisasikan segala ajaran Al Qur'an yang dibaca itu dalam kehidupan. Ini
semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah.
Dalam perkataan lain, pembacaan yang sedemikian akan
menimbulkan keazaman untuk bermujahadah iaitu melawan kemahuan diri yang
bertentangan dengan tuntutan ‘ubudiyyah kepada Allah.
Melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam
Al Qur'an adalah tafsiran makna ayat yang dibacanya itu di dalam kehidupan.
Untuk memastikan ia terus hidup dan segar, maka hati
perlu sentiasa menjalani proses mujahadah (melawan segala kemahuan diri yang
bertentangan dengan ajaran Islam).
Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan
kotor. Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan
kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran
Islam.
Perkara ini dijelaskan dalam hadis bermaksud:
“Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah
bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam
secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh
fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam.
“Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya, akan
terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada dua.
“Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang
tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala
sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang berkarat,
tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya
adalah mengikut keinginan.” (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Iman, Hadis No.
207)
wallahua'lam.
Subscribe to:
Posts (Atom)