![]() |
wanita bukan ditelunjuk lelaki |

Showing posts with label PERKONGSIAN. Show all posts
Showing posts with label PERKONGSIAN. Show all posts
Friday, November 22, 2013
Beauty and The Beast
Assalamualaikum wbt
Bismillah.
Allahumma solli wasaalim a'la
Muhammad wa a'la aalihi wasahbihi ajmai'n
Ana Ingin kongsikan satu bingkisan
ringkas tetapi sangat menarik. Berkaitan dengan 2 makhluk Allah yang diciptakan
sebagai pengajaran bagi 2 kaum, hamba Allah s.w.t. Kupu-kupu dan gorila. Buat
Adam dan juga hawwa'.. sedikit olahan dari tulisan yang asal..
Beauty &
The Beast. Jika dahulu kita mengenali kata nama am ini dengan satu kisah
animasi. si perempuan yang cantik dan seorang lelaki yang disumpah menjadi
haiwan yang hodoh dan kasar seperti singa tetapi bertanduk.
Apa yang ingin
dimaksudkan dengan tajuk tersebut ialah berkenaan dengan hati wanita dan
kegagahan jiwa lelaki;
Kupu-kupu,
seringkali diibaratkan dengan wanita. kecantikan sayap menjadi daya penarik,
kelembutan dan santun dengan bunga-bungaan di taman. Menghisap madu, dan menyebarkan debunga. Namun harus diingat, dia
begitu mudah untuk dicacatkan. Jangan disentuh sebarangan, jangan mengejar andai tiada
tujuan
Hati kaum
wanita sangat sensitif seperti kupu-kupu dalam gambar ini, tatkala ia sedang
berada di tangan seorang lelaki seperti gorila ini. Mungkin saja kupu-kupu itu
akan disakiti atau dilindungi. sekiranya dia berada di tangan gorila yang baik,
maka kupu-kupu itu akan dilindungi dan begitulah sebaliknya.
Kupu-kupu amat
sensitif dan mudah sekali terluka. begitu juga dengan hati wanita.
Sekali ia
terluka, kemungkinan ia akan terbang pergi tanpa kembali lagi. Mencari tempat
untuk bersembunyi. Bersendiri dengan sisa umur yang masih berbaki.
Rasulullah SAW
bersabda:
خيرُكم خيرُكم لأَهلِه وأنا خيرُكُم لأَهلي ما أكرمَ النِّساءَ إلَّا كريمٌ ولا أهانَهُنَّ إلا لئيمٌ
"Sebaik-baik
kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya (khususnya isteri),
dan aku adalah yang paling terbaik di antara kalian terhadap ahli keluargaku
(khususnya isteri-isteriku). Tiadalah orang yang memuliakan para wanita itu
melainkan orang-orang yang mulia, dan tiadalah orang yang menghina para wanita
itu melainkan orang-orang yang keji." [hadis sahih riwayat Saiyiduna 'Ali
bin Abi Talib, dinukilkan oleh Imam as-Suyuti dalam al-Jami' as-Soghir]
Buat kaum
lelaki, dirimu seperti gorila yang gagah. Mungkin akan menjadi sebagai
pelindung, mungkin juga sebagai pemangsa.
Oleh
itu,Janganlah dirosakkan sesuatu yang amat indah, lembut dan sensitif itu
dengan kejahilan dan kerakusan Sayangilah kupu-kupu itu dengan setulus hati,
dicipta untuk membahagiakan bukan untuk dilukai oleh amarah yang menguasai.
Rumah Sewa yang Gemilang
3.57 p.m
23 Nov 2013
Wednesday, November 20, 2013
Cerpen Pertama :) Pondok Sunyi Di Pinggir Syurga
Assalamualaikum wbt.
Subhanallah, wAlhamdulillah, wAllahu Akbar. Selawat dan salam kepada penghulu Nabi s.a.w, keluarga dan sahabat-sahabat baginda.
Sejak sekian lama ana memeram cerpen yang ana karang semasa pertandingan dalam bengkel penulisan anjuran Jabatan Dakwah Dan Pembangunan Insan. Karya yang tidak seberapa, tanpa disangka menjadi pilihan juri. Diantara cerpen terbaik. Pelik bagi ana, tidak pasti apa yang istimewa dalam cerpen ana membuatkan ana berada di barisan pemenang. Alhamdulillah, itulah rezeki namanya. :)
Sejujurnya, karya ini ana sorok dari menjadi mangsa bacaan umum.. ^_^ Rasa tidak layak pun ada. Tapi sampai bila, mungkin ada yang boleh dibaiki sekiranya ada kritikan yang membina.
PAK ALI. perlahan-lahan menyusun langkah menuruni tangga ruang
dapur . Penatnya menebas semak kebun Pak Hamid
semalam memerit rasa si tubuh tua itu. Terperit-perit wajah tua menahan
tubuhnya yang sakit. Tetap digagahkan jua.
Mak Pah. Menjalankan tanggungjawabnya disubuh hari. Rutinnya
menyediakan sarapan dan kuih muih untuk dijual digerai. Kopi istimewa buat
suami tercinta dibancuh dengan pemanis kasih sayang.
“Minumlah bang” dengan
senyuman yang tidak pernah lekang dibibir. Mak Pah menghulukan secawan kopi
dengan penuh santun.
“Luas jugak kebun hamid” Pak Hamid mulakan bicara mengenai kebun pak
hamid. Tangannya mencapai secawan kopi yang dibancuh Mak Pah dihirup
perlahan-lahan. Asap yang mengepul menandakan
air kopi itu masih hangat. Pekat. Secawan minuman yang terbaik buatan buah hati
tercinta. Sebab itulah pak hamid tidak akan menyentuh kopi lain melainkan itu
adalah hasil dari air tangan Mak Pah. Ada perasa tambahan katanya.
“Hari ini abang ke kebun lagi? ” Mak
Pah menyambut perbualan dengan persoalan. Risau melihat keadaan pak Ali yang
mula menampakkan bibit sakit.
“Tak tahu lagi, badan aku rasa lain macam pulak hari ini. Sudah
mahu mati barangkali “ pak ali ketawa
kecil sambil mengurut-ngurut pinggangnya yang sentiasa menjadi penghalang untuk
membuat kerja-kerja berat. Sudah 5 tahun keadaan pak ali begitu. Sentiasa sakit-sakit bila melakukan kerja
berat. Begitu juga dengan Mak Pah. Sudah
tidak berdaya untuk membantu suaminya mengambil upah menebas semak dikebun pak
hamid sejak 2 tahun yang lalu. Manakan tidak, pasangan itu hampir mencecah usia 70 an. Otot-otot sudah kecut
untuk menggalas bebanan kerja.
Gurau pak ali kali ini membuatkan Mak Pah hanya tersenyum hambar.
Seringkali diucapnya perkatan itu, membuatkan Mak Pah sudah lali dengan gurauan
suaminya. Sudah malas mahu ambil hal dengan gurauan itu.
“Abang rehatlah hari ini. Tentang kerja-kerja dikebun itu nanti
saya beritahu pak hamid yang abang tidak sihat” sambung Mak Pah, Tangannya perlahan-lahan
menyusun kuih-muih ke dalam bakul untuk dihantar ke gerai Gayah dihujung kampung.
Susunan yang kemas.
“ Baiklah. Aku rasa sakit aku lain macam plak hari ni. Sampai
gerai Gayah nanti belikan aku panadol” ucap pak ali yang masih
mengurut-ngurut pinggangnya.
Mak Pah kasihan melihat suaminya. Mahu sahaja tangannya mengambil
alih untuk mengurut pak ali. bimbang, nanti kuih muihnya berbau minyak angin.
Beringat, takut membantut punca rezeki.
“ baiklah abang. Nanti jangan lupa kunci rumah. Saya takut balik
lewat.” Suruh Mak Pah. Keadaan pak ali
mengundang bimbang dihati Mak Pah. Hatinya menjerit-jerit rasa tidak enak. Rasa
bersalah. Namun dia harus menghantar kuih muih ke gerai Gayah untuk dijual bagi
mencari sesuap nasi. Upah menebas pak ali hanya mampu menampung belanja pondok
yang disewanya.belanja makan dan minum
hasil daripada jualan kuih muihnya.
“ saya pergi dulu. Abang jaga diri ya. Saya berusaha untuk balik secepat mungkin. Balik nanti saya urut “ jelas Mak Pah. Dia mengatur langkah ke luar rumah. Pintu usang
di bahagian dapur yang sudah terkopek kayunya dikuak perlahan. Bibirnya menutur
kalimah basmalah mengiringi perjalanan.
Mak Pah menyorong basikal tua yang bersandar didinding . Langkah
terhenti. Menolehnya kearah pondok kediamannya. Resah menggamit hati si isteri.
Basikal menjadi teman perjalanannya. Itulah satu-satunya pengangkutan yang
mereka ada. Dibeli dengan hasil titik peluh menebas semak Pak Hamid.
Mak Pah kuatkan jua langkahnya untuk terus mencari rezeki tuk
disuap dua mulut. Perkongsian hidup mereka tidak membuahkan hasil. Rezeki zuriat tidak memihak kepada mereka. Mak
Pah tidak mampu menghadiahkan permata penyinar hidup mereka. Pak Ali redha, dia
sayangkan Mak Pah. Mak Pah sudah cukup membahagiakan hidup Pak Ali. Sudah cukup
menjadi cahaya hidupnya. Saham akhiratnya kelak.
“ Gayah” jerit Mak Pah
“ya. Kat dapur” sahutan Mak Pah disambut Gayah yang sedang
mencuci pinggan. Bunyi kuat desiran air paip sedikit menganggu perbualan
mereka.
“ ni Mak Pah letak kuih atas meja ya” menjerit lagi
“ ok. Mak Pah buat sendiri macam biasa ya” Gayah membalas
jeritan. Jelas kekalutan Gayah mengemas gerai untuk memulakan perniagaannya
hari ini.
“ Gayah!, Aku nak panadol
satu papan. Ada lagi tak ? ” Tanya Mak Pah sambil menyusun kuih dipinggan.
Paip ditutup kemas. Suasana menjadi aman daripada bunyi desiran
air. Gayah mengelap-nglap tangannya di apron yang diperbuat daripada kain
cotton yang dilapis plastic di bahagian dalam.
“panadol?. abang Ali sakit lagi ye kak pah” agak Gayah
beserta kalungan persoalan. Tangannya mencapai sekotak panadol dalam kabinet
dinding yang tidak bercermin.
“biasalah abang Ali kamu tu. Tapi sakitnya kali ni lain macam akak
tengok. Risau pulak. “ luah Mak Pah
tentang kebimbangannya.
“Abang Ali ni pun satu, dah tahu badan tu mudah sakit kuat kerja
juga. Kan sudah susahkan kak pah.”
Ngomel Gayah.
“kalau dia tak ambil upah tu alamatnya tak berasaplah dapur kami
ni Gayah” sedikit mengeluh dengan perangai Gayah yang suka berleter. Sudah
perangainya, leterannya bukan marah, tetapi sayang. Mak Pah dan Pak Ali sudah
seperti keluarganya. Kedua pasangan tua itu banyak menolongnya untuk bangkit
setelah peristiwa hitam mencorak sejarah hidupnya. Doa dan nasihat mereka
berdua sentiasa menjadi makanan Gayah setiap hari ketika konflik menggoncang rumah
tangga Gayah dan suaminya, seperti dunia mahu kiamat. Pasangan itulah yang
hadir dalam hidup Gayah bagi menjemput kembali semangat hidupnya yang hilang.
“harganya tolak duit jualan semalam ye Gayah” beritahu Mak Pah .
“ tak apalah kak pah, yang ni saya bagi percuma. Panadol dalam
kedai saya ni dah jadi barang wajib belian kak pah dah” Gayah ketawa kecil sambil menghulur sepapan panadol.
“betul ke? “ terima kasih
Gayah. terukir Senyuman gembira diwajah Mak Pah.
“Ni duit semalam. Alhamdulillah, habis semua kuih muih Mak Pah,
kalah kuih yang saya buat.” Tergelak kecil. Kata-katanya sedikit
menenangkan hati Mak Pah.
“ada ada je kamu ni. Baiklah Mak Pah pergi dulu ye. Nak singgah
rumah pak Hamid, nak beritahu yang pak Ali tak datang kerja hari ni”
senyuman masih terukir. Walau hati terusik bimbang dengan keadaan Pak Ali
berseorangan di rumah. Hati kembali menjadi semakin resah.
“ oklah Gayah, Kak Pah balik dulu ye “ Mak Pah kembali
menyorong basikal tuanya ke arah rumah pak hamid. Kali ini basikal itu tidak
ditunggang, malah hanya dituntunnya sahaja kerana rumah pak hamid hanya 100
meter sahaja dari gerai Gayah.
Selepas beberapa minit dirumah pak hamid, Mak Pah kembali pulang ke
pondok. Hati Mak Pah berdegup kencang. Entah kenapa, semakin dekat dengan
pondoknya hati semakin runsing. Hanya doa dan potongan ayat suci al-quran yang
dihafalnya sahaja meniti bibir.
Pintu dikuak mudah.
“tidak berkunci” desus hati Mak Pah
“ ya Allah abang!!”
bakul ditangan terhempas ke lantai,panadol yang diberi percumah oleh Gayah tercampak
keluar dari bakul. Wang hasil jualan bertaburan dilantai. Ia bukan lagi fokus
utama. Mak Pah menjerit terkejut melihat keadaan Pak Ali yang tersembam
dilantai. Mak Pah terduduk. Longlai. Dia hanya mampu mengesot untuk mendapatkan
Pak Ali yang sudah kaku.
“abang bangun bang!! ” sedikit menjerit. air mata Mak Pah
mengalir laju. Kudratnya berusaha mengangkat suaminya. Tidak terdaya, dirinya
hanya mampu membalikkan tubuh Pak Ali. Mak Pah tekad meninggalkan PaK Ali
sendirian , cuba untuk menguatkan diri. berlari anak mencari pertolongan dengan
jiran terdekat. Lariannya lemah kadang-kadang hampir rebah. Pondok mereka
sedikit tersorok, jarang penduduk disitu melalui kawasan itu melainkan untuk
mencari ulam-ulam kampung dan memancing disungai berdekatan.
Osman, anak pak hamid kebetulan memancing di sungai bersebelah
pondok Pak Ali dan Mak Pah mendengar jeritan dipondok tersebut. Sayup
kedengaran, kerana suara Mak Pah sehalus batang tubuhnya. Bergegas Osman
berlari kearah pondok tersebut bersama
teman rapatnya salam.
Salam sempat melihat Mak Pah berlari anak keluar rumah menjerit meminta
tolong. Bergegas Salam dan Osman menyapa Mak Pah yang sudah seperti kerasukan.
“Mak Pah, kenapa ni? Apa yang berlaku? Pak Ali mana? “
pelbagai persoalan yang diajukan pada Mak Pah.
“ Pak Ali kamu. Pak ali kamu”
hanya perkataan itu sahaja yang keluar dan diulang dari mulut Mak Pah. Jari
telunjuknya menunjukkan kearah pondok. Wajahnya dibasahi air mata. Osman
seperti sudah mengagak apa yang berlaku kepada Pak Ali.
Hospital besar didaerah tersebut menjadi destinasi kecemasan
mereka. Jasad pak hamid kaku tidak bergerak. Osman dan Salam berusaha
menghantar mereka ke hospital berdekatan.
“maaf mak cik. Suami mak cik sudah kembali ke rahmatullah.
Bertenang ya. ” ujar
pembantu perubatan yang memeriksa nadi Pak Ali. Mak Pah hanya mampu menahan air
mata dari terus mengalir laju. Namun hati lembutnya tetap kalah dengan keadaan.
Dirinya rebah dalam pangkuan kesedihan. Dirinya berusaha untuk menggagahkan
diri menerima takdir Ilahi. Osman dan Salam hanya mampu bersimpati dengan Mak
Pah.
Teringat akan gurauan Pak Ali pagi tadi. Air matanya bergenang. Gurauan
Pak Ali bukan lagi mainan. Tetapi tanda benar-benar dirinya akan meninggalkan
alam fana ini. Meninggalkan kebahagaiannya bersama isteri tercinta didunia. Mak
Pah redha.
……………………………………………….
Sebulan berlalu. Kini, hidup Mak Pah sunyi. Sunyinya sama seperti hari-hari
sebelumnya. sunyi dengan ketiadaan penyeri dan pelindung yang menemani hidupnya
dengan limpahan kasih sayang seorang suami, sahabat dan teman yang setia. Semasa
hayat Pak Ali, Mak Pah tidak pernah sunyi walaupun tidak mempunyai cahaya mata.
Pak Ali mendidik isterinya dengan ilmu agama. Mengajar cara untuk menjadi
Isteri solehah. Walaupun hanya kerja kampung, Pak Ali berkelulusan sekolah
Pondok di daerahnya. Ilmu yang diburunya sejak dulu itu menjadi bekalan dan
resepi kebahagiaan di alam rumah tangga yang dibinanya sejak 50 tahun lalu.
Mak Pah bersimpuh di anjung pondok, Tangannya asyik membelai manja anak kucing
yang dijumpai berhampiran gerai Gayah sebentar tadi setelah pulang dari pusara
Pak Ali. Boleh dikatakan setiap hari dia menziarahi Pak Ali. Surah Yassin menjadi
bingkisan. Bagi Mak Pah, itulah lambang cinta mereka. Surah itulah yang selalu
Pak Ali baca bersamanya usai solat maghrib sambil Mak Pah diajar dengan bacaan
yang betul mengikut hukum tajwid.
Hatinya simpati melihat anak kucing yang kehilangan ibu. Kelihatan
sunyi, sama sepertinya. Sedang
melayang fikirannya, entah kemana.
Bibirnya tiba-tiba melakar senyuman. Ingat akan kalimah ‘syurga’, destinasi yang sering diulang-ulang dan ia menjadi
dambaan Pak Ali. Dia pernah mengusik Mak Pah, katanya ingin Mak Pah menjadi
ketua bidadarinya di sana kelak.
“Mungkin abang Ali sedang berseronok disyurga” getus fikirannya. Monolog sendiri. Fikirannya masih kepada Pak Ali.
Mak Pah mengangkat langkah tika azan zohor berkumandang. Menyambut panggilan
ilahi dengan doa dan syukur. Dirinya masih mampu mengecapi nikmat dunia yang
sunyi.
………………………
Usai solat zohor. Tangannya pantas menadah memohon ampun kepada Ilahi
selepas zikir meniti bibir. Tidak lupa, doanya sentiasa mengiringi pemergian Pak
Ali. Tanpa jemu. Harapannya mahu bersua disana kelak. Air mata mengalir laju
membasahi telekung solat. Begitulah hari-hari kehidupan Mak Pah. Rutin hidupnya
berubah serta merta. Banyak meluangkan masa di atas sejadah usang peninggalan
suaminya. Kelihatan kesan lusuh, sedikit carik ditempat sujud. Sejadah itulah
menjadi saksi kepada hubungan mereka dengan Allah.
“ Assalamualaikum “ jelas suara Gayah dari luar rumah menjinjing
bekas makanan berisi nasi dan juga lauk. Niatnya mahu menziarahi Mak Pah dan
makan bersama. Kepalanya tidak henti-henti menjengah-jengah mencari kelibat Mak
Pah. Tiada jawapan.
“Kak Pah?? “ menanti
sahutan. Senyap. Gayah berusaha pergi ke bahagian dapur. Pintu ditolak
perlahan. Keriukan pintu jelas kedengaran.
“Kak Pah?” masih menanti
sahutan. Pelik. Selalunya sekali panggil Mak Pah pantas menyahut.
“ Oh, di sini rupanya” Gayah
tersenyum melihat gelagat Mak Pah yang sedang kusyu’ berdoa. Mata terpejam, ada
butiran mutiara jernih terbentuk di hujung bulu mata Mak Pah. Bibirnya terkumat
kamit menyusun kalamnya. Sepuluh minit berlalu. Mak Pah masih tenggelam
didunianya. Usai doa, Mak Pah menoleh kepada Gayah yang tersengguk-sengguk
dihujung di dinding, sengaja menjarakkan
diri, bimbang mengganggu kekusyukan Mak Pah. Mak Pah tersenyum. Membiarkan Gayah
tertidur. Meneruskan solat sunat. Tidak puas mengalung cintanya pada Allah.
Sunyinya terubat dengan kuntum cinta ilahi. Sujud terakhir, adalah sujud yang
paling lama.
![]() |
Suka menatap gambar ni :) |
Wednesday, April 18, 2012
~ DakWah iTU ciNtA~
Assalamualaikum wbt
![]() |
cinta dakwah mula tersebar dari seorang~MUHAMMAD S.A.W~ |
sedikit perkongsian daripada ana tentang cinta Dakwah.. mungkin sesetengah orang tidak sedar dakwah itu adalah cinta.. dan cinta itu adalah dakwah..
Alhamdulillah, hanya syukur yang mampu dipanjatkan padaNya. pelbagai ibrah dan hikmah yang telah dilalaui sepanjang berada di bumi UM. Tarbiyyah Allah, Dia mencampakkan ana dalam 'Taman syurga'.. indah berada dalam Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan. pelayaran bahtera ini membawa segerombolan duta dakwah, berhenti dimana sahaja pengkalan bilamana ada lambaian memanggil-manggil meminta untuk singgah di pelabuhan mereka.
buat kesekian kali menjunjung amanah di perkampungan indah di klang selangor yang bernama kg Delek yang menjadi medan pertama kali bagi sahabat2 perjuangan dalam membawa misi dakwah pada 16 - 18 mac 2012 lalu sebagai projek pertama kami sebagai mahasiswa yang berada dalam tahun pertama ijazah sarjana muda dakwah dan pembangunan insan. Alhamdulillah berpeluang lagi berjuang bersama senior menjayakan misi projek mereka di Kg. Tebuk Jawa, selangor. mereka dan kami saling memancarkan cahaya cinta. mengajar kami tentang cinta dakwah yang sebenar.
kuliah dan tutorial hanyalah diajarkan teori semata-mata. praktikalnya kami persembahkan dimana sahaja medan dan siapa sahaja yang akan menjadi sasaran kami.
terdapat banyak kaedah untuk menyebarkan kemanisan cinta tersebut. apayang ingin dikongsikan entri kali ini ialah bicara tentang komunikasi dakwah melalui penulisan. ini adalah artikel yang ana nukilkan untuk ustazah nur syazreen sebagai asaiment.
KOMUNIKASI DAKWAH MELALUI PENULISAN
Setiap insan yang mukallaf adalah menjadi kewajipan keatasnya dalam memikul setiap amanah Allah sebagai khalifah dan menyampaikan dakwah Islamiyyah. Tidak kira sama ada ia dilakukan secara berseorangan mahupun berjemaah. Perjuangan dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah adalah mulia disisi Allah s.w.t kerana ia adalah amanah yang dipikul oleh para Rasul dan Nabi sejak zaman dahulu dan seterusnya disambung oleh para sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in dan generasi yang seterusnya sehingga lahirnya kita didunia ini. Dewasa ini, para da’i sedang berada diperingkat penting dan genting untuk mengislahkan kembali Islam ke dalam jiwa-jiwa yang kegersangan cahaya petunjuk. Allah amat memuliakan generasi yang sanggup menyambung amanah ini sepertimana firman Allah yang bermaksud : “ katakanlah (wahai Muhammad),’inilah jalanku,aku dan orang-orang yang mengikutiku menyeru manusia umumnya kepada agama Allah berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas dan nyata. Maka Maha Suci Allah (daripada segala iktikad dan perbuatan syirik), dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”
Ayuhlah, kita bangkit sebagai generasi kalam Allah, supaya Islam tidak lagi diinjak-injak tanpa belas. Saudara-saudara kita tidak lagi disembelih zalim. Adakah saat genting ini kita masih mampu mengilai tawa dalam nikmat kesenangan yang mampu membunuh saudara dan diri sendiri ? semestinya kita akan katakan tidak! namun sejauhmana usaha kita dalam mengekang kezaliman musuh-musuh Islam yang sejak sekian lama sehingga sekarang mereka tidak akan berhenti melakukan komplot untuk menjatuhkan maruah Islam dan kaum Muslimin serta menjatuhkan Kerajaan dan Khalifah suatu ketika dahulu. Dan sejauh manakah usaha kita untuk terus menyebarkan kuntuman dakwah agar isi alam ini sentiasa dapat menikmati manisnya Islam? Sesungguhnya bekerja untuk Islam bagi mencapai tuntutannya , terutamanya apa yang dimestikan oleh tabiat marhalah sekarang untuk keperluan mendirikan kerajaan Islam sedunia merupakan satu perkara yang wajib dilaksanakan secara berjama’ah dengan jama’ah yang tersusun . Di sana tidak mungkin tujuan ini tercapai dengan kerja secara perseorangan tanpa kerja berpasukan. Ini kerana Islam itu sendiri bukan agama untuk individu akan tetapi ia adalah agama untuk satu ummah, satu Negara dan satu tubuh. Jadi wajiblah untuk kita menyeru kearah penyatuan ummah dan menolak perpecahan mereka.
Firman Allah daripada surah Ali-‘Imran, ayat 103 yang bermaksud : “ Berpeganglah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah
Sudah jelas apa yang tercatat dalam Al-Quran tentang kewajipan kita untuk terus melebar luaskan dakwah dengan pelbagai cara dan kemampuan tetapi masih dalam landasan yang berhikmah. Bergantung pada kita untuk menggunakan apa jua jenis cara (uslub) dan medium (wasilah) dalam menyampaikan dakwah yang berkesan, seperti dakwah melalui lisan, media, kepimpinan, penulisan dan apa jua bentuk asalkan matlamat kita jelas dengan tuntutan. Benar kita adalah pejuang dan setiap pejuang mesti ada medan dan targetnya untuk mencapai suatu matlamat yang baik dan cara yang pelbagai. Jadi apa yang ingin ditekankan disini adalah salah satu jalan juang iaitu penulisan sebagai medium dakwah. Ini juga menjadi signifikan kepada para da’i untuk mencoret perbagai karya bernafas Islam supaya ia hidup segar dalam jiwa manusia.
![]() |
CINTA UNTUK SEMUA |
Setiap penulisan yang akan dipersembahkan memerlukan objektif dan matlamat tersendiri. Oleh itu, penulis mesti bertanggungjawab di atas karya yang dinukilkan secara tepat supaya mad’u mendapat dan menerima informasi tersebut dengan sahih. Jadi, untuk mempersembahkannya perlu kepada teknik tersendiri seperti mempunyai gaya penulisan dalam membuat suatu kenyataan berunsurkan ilmiah, menggunakan bahasa yang baik dan mudah difahami serta menggunakan lenggok gaya inotasi dalam menyampaikan sumber ilmu tersebut yang digunakan dalam teknik penulisan. Gaya pujukan daripada teknik-teknik penyataan ilmiah boleh mengajak mad’u untuk menggunakan akal supaya berfikir seterusnya menganalis maklumat tersebut untuk dijadikan sebagai kesimpulan. Secara tidak langsung matlamat untuk menyampaikan dakwah Islamiyyah yang berkesan tercapai apabila menggunakan metod ilmiah yang bersesuaian.
Setiap apa yang kita lakukan tidak semestinya membawa kejayaan yang sempurna sekiranya tidak dibantu oleh yang Maha Perancang. Setiap uslub yang dibawa semestinya ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Pelbagai masalah juga boleh kita hadapi dalam mengetengahkan penulisan sebagai medium dakwah, dan ia boleh dilihat dalam 5 aspek iaitu da’i (pendakwah), mad’u (orang yang didakwah) , uslub (cara), wasilah (medium) dan maudu’(isu yang dibawa).
Masalah yang boleh terjadi para diri pendakwah itu sendiri ialah sekiranya kita tidak mempunyai softskill dalam menyampaikan dakwah. Selain itu, dakwah juga tidak berkesan sekiranya da’i tidak menyampaikan maklumat secara tepat serta mementingkan diri sendiri demi ketamakan populariti sehingga kabur akan tujuan asal dalam menyampaikan dakwah tanpa menghiraukan informasi yang diberi tidak tetap dan salah, ini kerana informasi tersebut tidak merujuk al-Quran dan Assunnah. Ini juga boleh menjatuhkan imej sebagai seorang pendakwah dan secara tidak langsung mad’u boleh tersesat dari jalan kebenaran. Sebagai pendakwah kita perlu menjaga imej diri seterusnya menjaga imej Islam agar tidak tercalar. Ini boleh memudahkan lagi senjata musuh Islam menerobos jiwa-jiwa yang sedia lemah. Disamping itu da’i juga boleh menerima lebih banyak dugaan sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu a’laihi wasallam telah meramalkan cabaran dan dugaan-dugaan yang dihadapi oleh para mu’min,da’i dan mujahidin dijalan Allah Subhanallahu wa Ta’ala. Mafhumnya “orang mu’min sentiasa di ambang 5 dugaan yang susah, iaitu mukmin yang dengki kepadanya,munafiq yang benci kepadanya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya, dan nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya” (hadis ini ditakhrijkan oleh Abu Bakar Ibnu Lal dari hadith Anas ).
Oleh itu untuk menjadi da’i yang hebat, kita perlu mempersiapkan diri agar Islam tidak terfitnah oleh noda yang kita cipta sendiri. Sentiasalah muhasabah diri dan meningkatkan ilmu serta ketaqwaan agar segala usaha kita sentiasa diredhai oleh Allah.
Oleh itu untuk menjadi da’i yang hebat, kita perlu mempersiapkan diri agar Islam tidak terfitnah oleh noda yang kita cipta sendiri. Sentiasalah muhasabah diri dan meningkatkan ilmu serta ketaqwaan agar segala usaha kita sentiasa diredhai oleh Allah.
Selain daripada pendakwah, kita boleh lihat juga daripada sudut masalah mad’u itu sendiri. Setiap mad’u mempunyai latar belakang yang berbeza dari aspek gaya hidup, pendidikan, darjat, dan apa jua yang berkaitan. Salah satu masalah yang sering hadapi oleh mad’u ialah salah mengambil maklumatdari sumber yang diragui. Mereka yang sedang mencari jalan pulang akhirnya semakin bertemu jalan yang lagi menyimpang dan gelap apabila mudah mempercayai golongan yang dikatakan ‘ulama’ tetapi membawa agenda yang sebaliknya. Mereka mudah menilai golongan tersebut melalui emej yang dikatakan ‘alim’. Namun disebalik kealiman itulah tersimpan beribu kejahatan. Mereka tidak merujuk pihak yang sepatutnya untuk membantu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Para mad’u yang ingin mencari jalan pulang perlu dibimbing sebaik mungkin dan sama-sama menuntun hati-hati mereka ke titian cahaya agar noda-noda yang pernah dilakukan tersirna.
Dakwah juga tidak akan berhasil sekiranya kita tidak tahu bagaimana cara untuk menyampaikannya. Setiap pendakwah perlu ada cara untuk berinteraksi dengan mad’u. Sekiranya pekebun ada cara tersendiri untuk menyuburkan tanaman, apatah lagi seorang pendakwah yang ingin menyuburkan Islam dimuka bumi. Dalam penulisan kita mempunyai banyak cara untuk menyebarkan dakwah tersebut. Sebagai contoh sesuatu karya ditulis dalam bentuk artikel, esei, cerita, puisi,kertas kerja,tesis dan sebagainya, untuk melebarkan nukilan ilmiah tersebut kita boleh menjadikan dakwah tersebut disebar dalam banyak cara. Dengan mengunakan laman maya seperti blog, facebook, twitter, dan sebagainya maklumat boleh tersebar dengan cepat. Selain daripada itu kaedah pembukuan juga boleh dilakukan dan boleh juga disebar melalui majalah, surat khabar, poster dan banyak lagi. Tetapi sebelum maklumat itu disalurkan kepada komuniti ia perlulah diselidik dengan pengamatan tepat agar mad’u mendapat suatu maklumat dengan tepat.
Dengan menggunakan medium penulisan juga ada kekurangannya, kerana ada segelintir dalam kalangan mad’u kurang minat kepada membaca dan mungkin mereka lebih kepada menerima informasi melalui mendengar ceramah, melihat visual, dan sebagainya. Namun dengan penulisan, momentum dakwah masih boleh bernafas laju kerana ia adalah jalan juang yang tidak akan henti, dan para pendahaga kebenaran akan datang dengan sendiri merasai nikmat keinsafan disetiap baris yang cuba disampaikan. Disetiap penulisan juga wajib diambil kira tentang isu yang dibawa dan berkesesuaian kepada taraf mad’u agar mad’u dapat memahami mesej yang cuba disampaikan. Sebagai contoh, kanak-kanak berusia 7 tahun ke atas tidak sesuai untuk kita membahaskan soal yang berkaitan dengan politik semasa . Sedangkan perkembangan otak mereka masih belum mencapai tahap pemikiran yang matang. Kanak-kanak seusia tersebut hanya perlu diisi perkara-perkara asas tentang akidah dalam hidup mereka sebagai langkah pertama supaya mereka dapat memahami dan melakukannya secara perlahan-lahan sehingga menjadi sebati dalam jiwa mereka sejak kecil. Para da’i perlu mengambil berat faktor umur mad’u untuk menyampaikan sesuatu maudu’ agar informasi dan matlamat sebenar mencapai tahap yang dikehendaki mengikut rangka yang telah dirancang.
Tuntasnya, sebagai muslim kita masih sedar akan tanggungjawab yang telah diamanahkan sejak azali untuk menyambung perjuangan para anbiya’. Sesungguhnya kita adalah generasi rantaian mereka untuk meneruskan usaha mengibar panji Islam diserata dunia. Kita bukan generasi bisu membatu untuk melihat tanah Islam dijajah musuh. Kita bukan juga generasi buta mata hati untuk untuk melihat jiwa-jiwa parah disembelih kezaliman. Satu titik usaha boleh dinilai tinggi oleh Allah. Robohkan kebatilan dengan tangan-tangan yang sepatutnya berhak hidup dalam kedamaian. Berjuang itu pahit, kerana syurga itu terlalu manis. Oleh itu sebagai mahasiswa mu’min yang berintelek, wajiblah keatas kita untuk mensucikan anasir-anasir hitam dengan menggunakan pelbagai wasilah supaya Islam kembali berada dipuncak. Walaupun hanya menggunakan sebatang pena itu sudah mampu untuk membunuh musuh-musuh yang berjiwa kelam. Kita tidak punya masa untuk menghilai tawa, kerana semboyan jihad sudah lama memberi isyarat untuk terus bangkit menyerang. Cukuplah kerana kelalaian lalu menjadi pengajaran untuk kita. Masa jangan dibuang begitu sahaja, dengan masa yang tersisa ini pelbagai penulisan ilmiah yang boleh kita kembangkan supaya menjadi satu senjata tajam yang ampuh. Semoga apa yang terkalam menjadi wasilah yang terbaik dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat agar Islam tidak lagi menjadi bahan mainan di tangan musuh-musuh Allah.
wallahualam. semoga bermanfaat buat diri dan semua sahabat. InsyaAllah
kolej kediaman ungku aziz
jam : 12.55 pm
tarikh : 19 april 2012
jam : 12.55 pm
tarikh : 19 april 2012
Friday, December 2, 2011
iMaN sEmUt Vs ImAn MaNusIa.

vs
Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku". Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".
Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong". Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.
Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya
dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".
Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".
Itulah Iman Semut!!
IMAN MANUSIA??
Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.
Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik ke rumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik.Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur. Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?". Jawab Imam Suffian:" Di akhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tangan Tuhan". Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya, iman dia akan beralih. Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia.
Sunday, July 10, 2011
bAGaI sAnG MeRaK
Assalmualaikum wbt..
Bismillahirrahmanirrahim pembuka kalam..menambahkan lagi keberkatan entry kali ni..
Bila berkata tentang sang merak,kita pasti terbayang akan indah bulunya..Siapa yang tidak kenal dengan sang merak.. haiwan yang punya bulu indah bersinar membalut tubuh..gah dengan dada yang bidang tika mengembang ‘anugerah ’ itu..
Merak juga merupakan nama sebuah pelabuhan di Banten yang diberi nama pelabuhan merak tidak pasti plak kat mana pelabuhan tu..
Tetapi merak adalah spesies burung dalam genus Pravo dan Afropavo,erm,,pelik bunyinyakan..merak juga dari familia ayam hutan (pheasant), Phasianidae. Burung jantannya memiliki bulu ekor yang indah yang dapat dikembangkan untuk menarik perhatian merak betina.Ketiga spesies tersebut adalah:
Yer ker???
sejauh mana kebenarannya??
Telinga ana berhalwa tika mendengar bait indah lagu Egois Mestica.. maknanya penuh tersirat.. sebelum ni ana tertanya-tanya,kenapa manusia ego,sombong,megah di samakan dengan sang merak..
Cuba hayati lirik ni :
Katamu apa yang kau impikan
Segala kan pasti jadi kenyataan
Setiap apa yang kau inginkan
Sekelip mata dalam genggaman
Nadamu berbaur keegoan
Katamu kau tak perlukan teman
Walaupun sendirian
Walaupun kesunyian
Kau punya segala kelebihan
Bibirmu ketandusan senyuman
Jeling pandangan hanyalah di ekor mata
Atur langkah penuh keangkuhan
Gerak gaya lambang kemegahan
Kau terlupa apa yang kau ada
Segalanya kurniaan yang Esa
Hanya seorang hamba
Yang diuji imannya
Dengan kenikmatan dunia
Bicara hati mu tentang sepi
Sengaja tak pernah kau akui
Bagaikan sang merak
Yang indah bulunya
Namun tidak mampu
Terbang ke angkasa
Andai dibiar keegoaan
Meratah hati dan perasaan
Usah kau pertikaikan jiwamu
Mengapa tiada rasa ketenangan
Pernah terlintas di minda
Ketika kau kesusahan
Siapakah yang kan hadir menjadi pembantu
Bukan sengaja
Mencari silapmu
Engkau ku rasakan
Mampu menjadi sandaran
Sedarlah jasa baktimu diperlukan
Curahkan pada insan yang memerlukan.
Bait kata tersirat ini sayup-sayup memukul lembut gegendang telinga ana..rentak lagunya rancak membuatkan otak ana terus ligat memikirkan tentang 2 makhluk berbeza diantara manusia dan merak..ada perbezan..ada persamaan diantara makhluk ciptaan Allah ni..
Bezanya.. manusia punya anugerah tertinggi dinamakan AKAL..merak pula punya anugerah tersendiri,bulunya yang mengembang indah…
Persamaan..dua-dua ada sifat kebinatangan.. bunyinya sememangnya kasar.. tapi itulah hakikat yang perlu kita telan,hasil kerja tangan sendiri..Ada juga diantara makhluk yang punya akal ini tak boleh menggunakan anugerah yang diberi sehingga kufur akan nikmat-Nya.
Firman Allah swt..
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma`ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. (Ali Imron: 110)
Sememangnya didalam sifat haiwan itu ada dalam diri manusia.. manakan tidak dunia hari ini jelas menzahirkan apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan ego dalam mengejar duniawi.Sanggup menggadai maruah diri,malahan agama supaya diri mencapai klimaks kepuasan dalam nikmat dunia. siapa yang salah??
Bila 1 jari telunjuk di tuju pada orang malah masih ada 4 jari yang berbaki menuju kearah kita.
Jadi koreksilah diri dahulu sebelum jemari itu menjadi saksi di akhirat kelak.
![]() |
AMBOI..TINGGINYA |
PENYAKIT BATIN
Takbur,bongkak,sombong ,angkuh membawa makna yang seerti untuk kita gambarkan suatu sifat seseorang, itu adalah diantara sifat yang hina dan diatara penyakit batin (mazmumah).
Firman Allah yang bermaksud:Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang hina (Al-Mukmin:60)
Sekelumit Cuma pun bukan milik kita untuk menghiasai diri dengan sifat tercela ini. Persada hati tidak memerlukan titik noda hitam seperti ini untuk menggenggam dunia. kerana yang sepatut kita capai adalah akhirat. Nikmat yang diberi ini hanyalah bekalan bagi menyuburkan tanaman didunia untuk menuainya diakhirat. Bukankah kita sudah dijanjikan dengan pelbagai nikmat agung nan indah disana kelak, janji Allah itu benar. Nikmat manakah yang kita masih dustakan??
Takbur membelit tengkuk sang kufur dengan memalingkan kebenaran. Segala didepan mata masih mendustakan,manakan tidak,mata hati itu dibuta tulikan daripada melihat kebesaran dan mendengar kebenaran. Masih angkuh berjalan di perut dibumi Allah, tanpa sedar bila-bila masa sahaja perut itu bisa menelan pemijaknya...atoila..seksalah diazab Allah kelak..nauzubillah.
Untuk mengenali sang takbur secara zahir amat mudah,lihat saje lagaknya..gaya tubuh digerakan angguh mendabik dada,dialah paling hebat,dialah yang paling tinggi pangkat dan harta,akhlaknya tentulah jelas buruk dipandang,jelek ,petah katanya menyakitkan hati golongan yang rendah, menghina saje menjadi hobi..bila berhujah hanya dia sahaja yang benar. Bila dinasihat katanya bohong dan tak boleh dipakai..
Imam Al-Ghazali berkata : orang yang takbur marah apabila ditegur sedangkan kalau menegur orang lain, caranya keras dan kasar.
Itulah secara luaran yang jelas untuk kita ta’arifkan seseorang itu sebagai orang yang angkuh lagi sombong.
Selain itu kita juga boleh melihat keangkuhan dengan menilai dalaman,sekiranya tadi kita boleh mengenal dengan melihat lagak gaya, sekarang kita kenali pula orang yang angguh dari segi batin salah satu titik hitam hati.
Sekiranya baik hati itu maka baiklah seluruhnya,sekiranya buruk hati itu maka buruklah seluruhnya.
Membesarkan diri dalam hati lebih dari Allah swt adalah maksiat hati yang tercela, ia boleh dilihat melalui kisah iblis dan seluruh kerabatnya yang mengangap dirinya lebih mulia dari Nabi Adam,dari itu perintah Allah untuk tunduk kepda Nabi Adam diingkari mereka. Kerana enggan berbuat demikian sang iblis tadi dilaknat oleh Allah swt dan seluruh kerabatnya. Inilah sifat takbur yang sentiasa menemani iblis menyangkal kemuliaan akan ciptaan Allah sehingga sanggup membalas dendam pada seluruh anak cucu Adam, termasuklah kita sekali. Dari dulu hingga kini mereka belum puas memtertawakan mangsanya yang rebah dan tergolong dalam golongan yang bakal menemani mereka di neraka kelak.. semakin galak sang laknatullah mencari teman setia. Lebih-lebih lagi zaman moden yang lebih ramai bakal menjadi mangsanya..
Bila si kaya tidak mahu membantu si miskin..
Bila pangkat dan kuasa hanya digunakan untuk kepentingan diri..
Yang bawah ditindas yang atas
Manusia yang mendustakan kebenaran..
Undang-undang manusia diletakkan ditempat tertinggi..
Hukum Allah dipermainkan..
Maksiat menjadi kebiasaan..
Dan banyak lagi contoh-contoh yang terzahir didepan mata..
![]() |
SUBHANALLAH CANTIKNYER.. |
Tapi mereka cilap ‘mengembang bulu’ rupanya,sayang sejuta kali sayang, tak mampu ‘terbang’ ke syurga.. indah yang dikecapi sia-sia bila anugerah yang ada tidak dapat meningkatkan saham diakhirat...
Selain itu takbur suka dibahagikan kepada tiga cabang :
1~ takbur terhadap Allah..
2~takbur terhadap Rasulullah
3~takbur sesama manusia..
Nah seperti yang ana katakana tadi.. yang mana hukum Allah sudah berani sesetangah manusia menjadikan ia satu mainan..waduh-waduh sememangnya golongan hati kering.. rohani kosong..bukan sahaja kosong,sudah kemik dan berkarat..segala ancaman bagaikan tidak layak untuknya.
Takbur terhadap Rasulullah s.a.w ialah enggan mengikut petunjuk dan sunnahnya. Begitulah Orang Quraisy pada zaman Rasulullah enggan mengikutnya kerana baginda anak yatim piatu.
Orang Yahudi pula enggan berbuat demikian kerana baginda bukan daripada keturunan Bani Israel...
Orang Yahudi berasa diri mereka lebih tinggi daripada orang lain, iaitu takbur sesama manusia. Mereka sering memandang rendah terhadap orang lain kerana menganggap diri mereka berilmu, kaya dan berpangkat sedangkan manusia dijadikan sama di sisi Allah.
Lihat saje suasana sekarang..Sunnah Rasulullah bukan lagi dijadikan qudwah.. bila ditanya adik kecil..
“adik..adik minat sape??
Ha cuba teka,siapa qudwah @ idola mereka..??
jangan terkejut sekiranya mereka kata minat justin bibir ker,siti nor haliza ke, sape ker..semua atas tarbiyah ibu bapa..^^..
takbur sesame manusia bukan lagi asing bagi zaman asing ini.. hanya orang ‘asing’ sahaja yang takut untuk berkata takbur.. ‘asing’ yang ana maksudkan bukanlah pendatang asing tanpa izin mahupun makhluk asing yang sentiasa menjadi buruan polis mahupun ahli saintis.. tetapi golongan ‘asing’ lah yang diperkatakan seperti sabda Rasulullah s.a.w, :
“Islam bermula dengan asing dan ia akan kembali juga dengan asing,maka bahagialah golongan yang ghuraba’(asing)”..sahabat Nabi bertanya kepada baginda : siapakah golongan ghuraba’(asing) ya Rasulullah?? Baginda bersabda : “mereka ialah golongan yang memperbaiki keadaan yang dirosakkan oleh manusia”
Dinegara kita giat sedang dijalankan oleh kerajaan dlm ops 0 pratus kemiskinan,tapi setakat ini,gelombang kemiskinan masih belum ‘bersih’ 100%..wang zakat lambang penyucian harta menjadi nafas segar kepada warga miskin untuk meneruskan perjuangan hidup..semoga wang zakat di Negara kita disalur betul supaya impian untuk 0 % miskin tercapai..
Sifat suka bersedekah dari golongan yang berada mampu mengurangkan bebanan pada golongan yang kurang termampu iaitu fakir miskin.. kerana itulah kita diwajibkan untuk membayar zakat sebagaiman diperintahkan oleh Allah.. mengikut sukatan dan jenis zakat yang telah ditetapkan..dari itu tertunduk malulah sifat bakhil dalam diri manusia..
Sifat takbur ini adalah penyakit hati yang sangat merbahaya.. ia seperti api dalam sekam,diamnya boleh membakar dan membinasa diri dan orang lain. Sekiranya orangb takbur dilantik sebagai pemimpin maka binasalah sesebuah Negara,jemaah atau kumpulan tertentu. Orang sebegini akan mencemarkan Negara kerana tempias peluh busuk kengkuhan boleh menjatuhkan tamadun. Contohnya seperti pemerintahan firaun yang bongkak,berani je dia mengaku dia tuhan..segala kuasa hidup mati rakyat ditanganNya.. tapi sejarah lalu membuktikan dia bukan Tuhan..
Imam Ghazali memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur yang ada dalam diri manusia, iaitu :
1. Apabila berjumpa kanak2, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak2 belum dibebani dosa.
2. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah mereka juga lebih mulia kerana mereka lebih lama beribadah daripada kita.
3. Apabila berjumpa orang alim, anggaplah dia lebih mulia kerana banyaknya ilmu di dadanya.
4. Apabila melihat orang jahil anggaplah mereka lebih mulia kerana berbuat dosa kerana kejahilan sedangkan kita dosa dalam keadaan mengetahuinya.
5. Apabila berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakan, mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu bagaimana akhirnya kehidupan kita.
6. Apabila bertemu orang kafir katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.
![]() |
YANG NI LAGI CANTIK..'BERSIH' NAMPAK BULU DIA |
Firman Allah swt..
(Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? ) (سورة الأنعام 32 )
Koreksi diri..
Carilah disebalik hati kita..cari dengan teliti,takut-takut masih tersisa hitam pekat sifat ini di dinding hati kita..kalau jumpa buang cepat..buang jauh-jauh..
Cermin pula diri,adakah indah luaran kita menjamin indah dalaman..
Wallahua’lam..
Subscribe to:
Posts (Atom)